Tuesday, February 11, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usus sumbat punca kematian ikan paus

    HONOLULU, 3 FEB – Seekor ikan paus yang terdampar di pantai Hawaii pada hujung minggu berkemungkinan mati disebabkan ia memakan sejumlah besar bubu, jaring ikan, beg plastik dan sisa laut lain, kata saintis semalam, menekankan ancaman berjuta-juta tan plastik yang berakhir di lautan ke atas hidupan liar setiap tahun.

    Bangkai haiwan sepanjang 17 meter dan 54,431 kilogram itu pertama ditemui di terumbu di luar Kauai pada Jumaat lalu. Air pasang membawanya ke pantai pada Sabtu.

    Kristi West, Pengarah Makmal Kesihatan Universiti Hawaii berkata terdapat banyak objek asing dalam saluran usus paus yang menjejas penghadaman.

    “Kehadiran ikan dan sotong yang tidak terhadam membuktikan usus tersumbat,” katanya dalam kenyataan akhbar dari Jabatan Darat dan Sumber Semula Jadi Hawaii.

    Perut ikan paus itu mengandungi enam bubu, tujuh jenis jaring ikan, dua jenis beg plastik, pelindung cahaya, tali pancing dan pelampung daripada jaring. Penyelidik juga menemui sotong, ikan dan bangkai mangsa lain dalam perut paus.

    Ia adalah kes pertama ikan paus di perairan Hawaii yang memakan peralatan memancing dibuang, kata West.

    Perut ikan paus itu amat besar sehingga kumpulan West tidak dapat memeriksa sepenuhnya. Mereka mengesyaki terdapat lebih banyak bahan yang gagal dikesan oleh mereka.

    Penyelidik tidak menemui sebarang kerosakan pada organ lain. Mereka sedang mengumpul sampel untuk menyaring penyakit dan menjalankan ujian susulan lain. – AP

    Antara objek asing yang ditemui dalam perut ikan paus yang ditemui mati di pantai Hawaii hujung minggu lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda