Wednesday, April 2, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Utah larang fluorida dalam air minuman

    WASHINGTON, 30 MAC – Negeri Utah barat Amerika Syarikat (AS) telah menjadi negeri pertama melarang fluorida dalam air minuman terhadap orang awam, sebahagian daripada gerakan yang semakin meningkat bagi mengkaji semula amalan kesihatan awam.

    Setiausaha Kesihatan AS yang baharu, Robert F. Kennedy Jr., telah lama menjadi pengkritik lantang terhadap air berfluorida, yang kini mencecah anggaran 200 juta rakyat Amerika – kira-kira dua pertiga daripada populasi.

    Larangan di Utah, yang telah ditandatangani menjadi undang-undang oleh Gabenor, Spencer Cox, Khamis lalu, akan berkuat kuasa pada 7 Mei. Badan perundangan di negeri pimpinan Republikan lain termasuk North Dakota, Tennessee dan Montana, sedang mempertimbangkan langkah yang sama.

    Pembangkang tidak terhad kepada negeri Republikan. Bandar yang berfahaman liberal seperti Portland, Oregon, dan City and County of Honolulu, Hawaii, juga telah mengharamkan fluorida.

    Fluorida pertama kali diperkenalkan kepada sistem air AS pada tahun 1945, secara mendadak mengurangkan kaviti kanak-kanak dan kehilangan gigi bagi dewasa. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit menganggapnya sebagai salah satu pencapaian kesihatan awam yang teratas pada abad ke-20.

    Bagaimanapun, kontroversi telah berkembang di sekitar kesan neurotoksik. Tahun lepas, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia di bawah bekas Presiden Joe Biden membuat kesimpulan dengan ‘keyakinan sederhana’ tahap fluorida yang lebih tinggi dikaitkan dengan skor kecerdasan minda (IQ) yang lebih rendah.

    Januari lalu, kertas kerja dalam jurnal berprestij JAMA Pediatrics, dikarang oleh saintis kerajaan yang sama, menemui hubungan signifikan secara statistik antara pendedahan fluorida dan pengurangan IQ. Walau bagaimanapun, ia meninggalkan persoalan utama tentang tahap dos yang mungkin berbahaya. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda