Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Menghiasi diri dengan adab dan akhlak yang mulia adalah amat penting dalam membina dan membangun kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Ini kerana orang yang berakhlak baik akan dipandang mulia di dunia dan amat tinggi darjatnya di akhirat nanti.
Perkara tersebut diterangkan oleh khatib dalam khutbah Jumaat hari ini dengan tajuk, Menghias Diri dengan Adab dan Akhlak Mulia.
Beliau seterusnya menjelaskan kepentingan mencontohi keperibadian Baginda Rasulullah SAW lebih-lebih lagi dalam perubahan zaman globalisasi ini, di mana berlakunya kepincangan dan keruntuhan moral dalam segelintir masyarakat.
“Agama sangat menitik-beratkan soal adab dan akhlak dalam kehidupan. Malah, adab dan akhlak adalah dua perkara yang lebih diutamakan sebelum mempelajari sesuatu ilmu kerana tiada gunanya seseorang memiliki ilmu yang hebat dan tinggi tapi tidak memiliki adab dan akhlak yang baik,” tekannya.

Khatib dalam khutbahnya turut menjelaskan, penjagaan adab dan akhlak meliputi pelbagai sudut dan termasuk adab dengan Allah, Rasulullah SAW, ibu bapa, guru, jiran, rakan, masyarakat, bahkan adab dan akhlak dengan semua makhluk Allah secara umumnya.
“Dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, ada digariskan panduan mengenai adab dan akhlak yang perlu dijaga dan disempurnakan dengan baik,” tambahnya.
Beliau turut mengongsikan beberapa adab dan akhlak dalam Islam yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian iaitu bersikap lemah lembut dalam setiap perkataan dan perbuatan, berbuat baik sesama jiran tetangga, menepati dan menunaikan janji, serta sentiasa senyum dan bermanis muka.
“Ini kerana menampakkan wajah ceria dan berseri-seri ketika bertemu sesama Muslim akan mendapatkan ganjaran pahala seperti pahala bersedekah,” tambahnya.
Adab dan akhlak yang terpuji hendaklah sentiasa ada dalam diri setiap individu pada setiap masa dan keadaan.
Memperbaiki diri dengan adab dan akhlak yang mulia adalah dituntut dalam agama Islam, dan sesiapa yang ingin dihormati, disegani dan hidup bahagia hendaklah mempunyai adab dan akhlak yang mulia.
“Marilah kita menghayati sunnah Rasulullah SAW dengan berpegang teguh, mencontohi dan mengamalkan akhlak Baginda serta menjadikannya sebagai petunjuk dan teladan dalam segala aspek kehidupan,” jelasnya.