JAKARTA, Indonesia, 21 Julai – Pelaksanaan strategi pengutamaan bidang keusahawanan belia semata-mata untuk melahirkan belia yang kental dan berdikari perlu dipercepatkan sejajar dengan pembangunan Komuniti ASEAN yang mempunyai belia-belia yang mantap mendepani masa hadapan mereka.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohammad Yusof menekankan perkara itu semasa berucap di Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Belia ke-10 (AMMY X) dan Plus 3 di Jakarta, Indonesia yang dipengerusikan oleh Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.
Yang Berhormat Pehin seterusnya berucap, bertitik tolak daripada Pelan Tindakan ASEAN untuk Belia 2016-2020, pendekatan-pendekatan supaya usahawan belia bercambah perlu jitu untuk terus menerus melihat kejayaan yang terbukti antara lain melalui penyediaan mentor dan mewujudkan jaringan kerjasama (network) dengan usahawan yang telah berjaya.