Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Utamakan diagnosis betul, tingkat hasil rawatan pesakit

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Pusat Perubatan Jerudong Park (JMPC) dan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) telah meraikan Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia (WPSD) pada majlis yang berlangsung di PJSC, hari ini.

    WPSD yang membawa tema, Meningkatkan Diagnosis untuk Keselamatan Pesakit, memberikan penekanan kepada peranan penting komunikasi dan kolaborasi efektif dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan dalam mencegah kesilapan diagnosis.

    Selain itu, ia juga mengetengahkan pentingnya diagnosis yang betul dan tepat pada masanya dalam memastikan keselamatan pesakit.

    Hadir merasmikan sambutan itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam kapasitinya sebagai Pengerusi JPMC dan PJSC serta Pengarah Eksekutif JPMC.

    Turut hadir ialah pengurusan kanan dan kakitangan JPMC dan PJSC.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan memotong kek sempena Sambutan WPSD pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan sijil pelantikan kepada salah seorang pemimpin pada majlis yang diadakan di PJSC kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Untuk meningkatkan lagi komitmen terhadap penjagaan pesakit, kedua-dua institusi itu telah melaksanakan siri kempen derma bersama untuk menyediakan peranti ujian di rumah seperti glucometers dan monitor tekanan darah kepada pesakit-pesakit yang memerlukan dalam usaha memperkasa mereka untuk menjaga kesihatan mereka menerusi pemantauan kendiri.

    Perkara itu dikongsi oleh Ketua Kualiti dan Keselamatan Pesakit di JPMC dan PJSC, Awang Jeffry Damit dalam ucapan alu-aluannya di majlis berkenaan.

    Beliau turut menyatakan bahawa kesilapan dalam diagnosis mempunyai kesan yang teruk kepada pesakit.

    Oleh itu, dengan mengutamakan diagnosis yang betul dan tepat pada masanya, kita dapat meningkatkan secara signifikan hasil rawatan pesakit serta mengurangkan risiko yang boleh dicegah.

    Acara itu turut menyaksikan pelancaran video pendidikan dan risalah mengenai peranti ujian di mana inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kedua-dua organisasi untuk melengkapkan para pesakit dengan peralatan serta ilmu pengetahuan yang diperlukan bagi pemantauan kesihatan di rumah.

    Dengan menyediakan jalur ujian yang mampu dimiliki dan demonstrasi secara langsung semasa lawatan ke rumah, inisiatif itu bermatlamat memastikan usaha pemantauan kendiri jangka panjang yang mampan bagi pesakit-pesakit berkenaan.

    Di samping itu, satu dasar baharu berhubung pelaporan keputusan kritikal juga dilaksanakan bagi PJSC untuk meningkatkan keberkesanan dan ketepatan masa laporan.

    Dasar itu adalah selaras dengan Joint Commission International (JCI) on International Patient Safety Goal (IPSG).

    Sementara itu, JPMC juga telah melantik pemimpin bersama dan pemimpin chapter untuk menerajui usaha organisasi berkenaan ke arah pengakreditasian semula JCI dengan tumpuan kepada keselamatan pesakit.

    Menerusi inisiatif-inisiatif berkenaan, JPMC dan PJSC mengesahkan semula komitmen kepada penyampaian penjagaan berpaksikan pesakit berkualiti tinggi dan memastikan keselamatan setiap pesakit.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda