Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Utamakan imunisasi rutin untuk kanak-kanak

    KUALA LUMPUR, 24 APRIL – Semua negara termasuk Malaysia digesa mengutamakan penerusan imunisasi rutin kanak-kanak dalam penyampaian perkhidmatan penting serta vaksinasi untuk kumpulan yang paling berisiko.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menerusi kenyataan bersama memaklumkan dalam mengambil langkah bersesuaian bagi membendung penularan COVID-19, usaha perlu dilakukan untuk memastikan kanak-kanak sentiasa mengikuti jadual vaksinasi mereka.

    “Liputan vaksinasi global masih jauh daripada 95 peratus liputan yang diperlukan untuk melindungi sepenuhnya komuniti terhadap wabak penyakit yang dapat dicegah melalui vaksin. Kira-kira 13 juta kanak-kanak tidak pernah menerima sebarang vaksin, menjadikan mereka dan komuniti sekitar berisiko dijangkiti penyakit dan kematian.

    “Campak terus menjadi ancaman, terutama sekiranya kadar vaksinasi menurun. Unjuran semasa menunjukkan bahawa seramai 800,000 orang mungkin telah dijangkiti penyakit itu pada 2019,” menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena Minggu Imunisasi Sedunia 2020.

    Menurut kenyataan itu, pada 2020 terdapat peningkatan kebimbangan terhadap kemunculan penyakit lain, terutama jika kadar vaksinasi menurun akibat penundaan atau penangguhan aktiviti imunisasi berjadual kesan daripada COVID-19. Kenyataan itu menyebut sekiranya perkhidmatan imunisasi perlu ditangguhkan, vaksinasi segera perlu dijadualkan semula secepat mungkin dengan mengutamakan mereka yang paling berisiko. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda