Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Utamakan keselamatan, elak risiko kecederaan semasa beriadah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    Bersukan merupakan amalan gaya hidup yang sangat penting untuk mengekalkan kesihatan tubuh.

    Selain pemakanan sihat, aktiviti fizikal memainkan peranan besar dalam memastikan keseimbangan antara kalori yang diambil dan dibakar setiap hari di samping meningkatkan kesihatan jantung, otot dan sendi.

    Sejak kebelakangan ini, didapati semakin ramai penduduk di Negara Brunei Darussalam, tidak kira golongan warga emas atau para belia mula menggemari aktiviti riadah atau
    sukan demi gaya hidup lebih sihat serta aktif.

    Kunjungan ke Taman Mahkota Jubli Emas didapati lebih 300 orang setiap hari menjalani aktiviti beriadah dan bersukan, sama ada berjoging, berbasikal mahupun sukan lasak yang mencabar menerusi larian maraton.

    Namun perkara yang perlu diberikan perhatian semasa bersukan adalah aspek keselamatan. Jangan sampai niat untuk kekal sihat terganggu dengan risiko kecederaan yang berlaku semasa bersukan.

    Pelari disarankan mematuhi peraturan dan menggunakan jalan yang khas untuk pelari semasa beriadah. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Ketika berlari di jalan raya, pelari disyorkan untuk mengenakan pakaian yang cerah dan mudah dilihat oleh pemandu serta lampu suluh kepala. – Gambar Freepik
    Penggunaan fon muzik tidak digalakkan semasa berlari di jalan raya. – Gambar Freepik

    Ikuti tip berikut untuk kekal selamat semasa melakukan aktiviti fizikal.

    BERLARI DI JALAN RAYA

    Berlari di jalan terbuka sememangnya sangat menyeronokkan dan ia antara peluang terbesar untuk para pelari meningkatkan kekuatan otot dan juga stamina berbanding berlari di kawasan yang terhad.

    Namun, dalam keterujaan bersenam, mungkin ada sesetengah individu tidak mengambil tahu mengenai apa yang perlu dilakukan sebelum berlari di jalan raya atau perkara yang harus dielakkan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kecederaan.

    Mengupas isu ini, penulis menghuraikan beberapa tip keselamatan untuk mengelakkan kecederaan semasa aktiviti berlari khususnya ketika melakukan aktiviti larian jauh seperti half marathon dan juga full marathon.

    Para pelari juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri sendiri ketika berlari atau berjalan di luar rumah.

    TIP KESELAMATAN

    Perkara pertama perlu diambil perhatian adalah meninggalkan pesan kepada ahli keluarga dan kawan tentang rancangan larian untuk hari berkenaan dan jika larian di tempat biasa memaklumkan kepada keluarga tentang tempat berkenaan.

    Ini bagi memudahkan orang terdekat mencari jika terjadi perkara-perkara yang tidak diingini.

    PENGENALAN DIRI

    Walaupun kedengaran janggal, namun membawa tag yang mengandungi butir-butir peribadi atau dikenali sebagai tag pengenalan diri adalah penting lebih-lebih lagi apabila merancang untuk berlari jauh lebih dari 21 kilometer dalam sehari.

    Selain daripada pengenalan diri, tampal nombor telefon di tempat yang mudah dilihat seperti LifelineID di pergelangan tangan.

    PERATURAN JALAN RAYA

    Bagi mereka yang sudah berpengalaman, sudah pasti tahu akan peraturan berlari di jalan raya, seperti berlari berlawanan arah dengan lalu lintas. Ini sangat penting supaya kita dapat melihat dan bertindak cepat terhadap kenderaan yang datang dari depan.

    Namun bagi orang yang baru berjinak-jinak dengan sukan berlari, mereka kurang pengetahuan tentang perkara tersebut dan banyak sudah kes-kes kemalangan terjadi sehingga ada yang melibatkan kehilangan nyawa.

    Bagi di Negara Brunei Darussalam, masih belum banyak terdapat kawasan yang menyediakan jalan untuk pejalan kaki, basikal dan pelari. Hanya di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

    MENGGUNAKAN PAKAIAN YANG SESUAI

    Baju yang sesuai memainkan peranan yang penting ketika berlari, lebih-lebih lagi di kawasan yang gelap.

    Pelari ketika berlari di jalan raya adalah disyorkan untuk mengenakan pakaian yang cerah dan mudah dilihat terutamanya dalam suasana yang gelap seperti pada awal pagi atau malam. Pakai pakaian yang mempunyai fungsi reflektif (pemantul cahaya).

    Gunakan lampu suluh kepala dan lampu LED berkelip (blinker) supaya boleh dilihat oleh pengguna-pengguna jalan raya.

    PENGGUNAAN FON TELINGA

    Kebanyakan pelari menggunakan fon telinga bertujuan untuk berasa santai ketika berlari dan membantu mereka untuk tetap fokus. Sudah tentu penggunaan peralatan tersebut disyorkan ketika berlari di kawasan taman dan juga pada mesin treadmill.

    Namun, penggunaan fon telinga ketika berlari di jalan raya adalah sangat berbahaya kerana ia menjejaskan pendengaran daripada bunyi-bunyi persekitaran seperti kenderaan yang ada di belakang, anjing dan sebagainya.

    BERSOPAN DAN BERHENTI SEKIRANYA SAKIT

    Patuhi isyarat di jalan raya. Berhenti di lampu merah. Jika ada pemandu yang memberi laluan, berikannya lambaian sebagai ucapan terima kasih.

    Ini akan membuatkan pemandu lebih cenderung untuk memberi laluan kepada pelari-pelari yang berikutnya.

    Berhenti berlari jika sakit kerana jika berasa sakit ketika berada di jalan raya namun diabaikan akan mengakibatkan kecederaan lain seperti pengsan, jatuh ke dalam longkang dan banyak lagi.

    IKUT NASIHAT DOKTOR

    Jika awda mengalami kecederaan, sila patuhi arahan doktor.

    Elakkan memaksa diri untuk terus berlari dalam tempoh pemulihan kerana
    kecederaan yang dialami mungkin bertambah buruk.

    Apa pun awda lakukan, keselamatan mesti diutamakan!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda