Utamakan keselamatan murid

KUCHING, 9 SEPT – Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mengingatkan semua sekolah di negeri ini supaya mengutamakan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

Menurut satu kenyataan, pihak sekolah disarankan supaya mengambil tindakan jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 di mana pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid.

“Jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup de-ngan serta merta dan penge-tua atau guru besar hendaklah memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tentang penutupan sekolah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam hendaklah diteruskan.

Namun, Lembaga Peperiksaan akan menangguhkan peperiksaan kepada tarikh yang akan ditetapkan jika berlaku jerebu yang bacaan IPU mencecah 300,” kata kenyataan itu lagi. Pihak sekolah dan ibu bapa hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing sebelum mengambil sebarang tindakan. – Bernama