Utamakan keselamatan pelajar, guru

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Bagi memastikan penjarakan sosial antara murid-murid sentiasa diutamakan menjelang pembukaan sekolah di negara ini setelah ia ditangguhkan akibat penularan COVID-19, Sekolah Rendah Jigsaw telah mengambil inisiatif untuk membahagikan kelas-kelas bagi sesi pembelajaran di sekolah berkenaan.

Separuh daripada keramaian asal murid-murid dalam sesebuah bilik darjah telah dipecahkan menjadi dua kelas, di mana pihak sekolah turut menggunakan perpustakaan dan bilik sains untuk dijadikan sebagai bilik darjah bagi menampung penambahan jumlah kelas tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Rendah Jigsaw, Helen Chin yang juga merupakan pengetua di sekolah tersebut ketika ditemui pihak media menjelaskan bahawa sekolah berkenaan ketika ini berada dalam fasa kedua, dan menggunakan model tiga, di mana bagi murid rendah atas akan bersekolah hanya tiga hari dalam seminggu, manakala bagi murid rendah bawah hanya bersekolah dua hari dalam seminggu.

Beliau turut mengongsikan bagi murid tadika di sekolah berkenaan hanya akan bersekolah sehari dalam seminggu, namun belum memulakan sesi persekolahan mereka hari ini. Bagi pelajar KG 1 dan KG 2 pula masih mengekalkan pembelajaran di rumah (Home Based Learning).

“Setiap kelas dibahagikan kepada dua, jadi setiap kelas hanya akan diisi oleh 15 murid. Para murid turut membawa pek kebersihan diri masing-masing yang terdiri daripada penutup mulut dan hidung, cecair pembersih tangan serta tisu kering dan basah semasa menghadiri sekolah,” tambahnya.

Dr Jimmy Chin ketika menunjukkan tatacara mencuci tangan dengan betul kepada para pelajar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Sekolah Rendah Jigsaw, Dr Jimmy Chin turut menjelaskan bahawa pihak sekolah tersebut bekerja keras dalam memastikan keselamatan diutamakan sebelum sesi persekolahan bermula dengan mengikut setiap garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan.

Selain itu, mereka juga turut menyediakan penutup mulut dan hidung bagi para murid di samping penyediaan pek kebersihan yang dibawa oleh pelajar itu sendiri ke sekolah berkenaan.

Waktu kedatangan para pelajar juga turut diubah daripada sebelumnya bagi mengelakkan kesesakan dan perkumpulan ramai berlaku di sekolah tersebut, di mana waktu kehadiran murid Tahun 6 adalah pada pukul 7 pagi sementara itu murid Tahun 1 hingga Tahun 5 adalah pada pukul 7:15 pagi, manakala 7:30 pagi bagi para murid tadika.

Kakitangan dan warga sekolah di sana turut bekerjasama dalam memastikan keselamatan murid-murid di sekolah tersebut diutamakan antaranya dengan memberigakan langkah-langkah penjarakan sosial, cara pembersihan tangan dengan betul secara terperinci dan sebagainya.

Para pengunjung di sekolah berkenaan termasuklah guru dan kakitangan di sekolah tersebut turut dimestikan untuk membuat pemeriksaan suhu badan dan mengimbas aplikasi BruHealth mereka sebelum dan selepas memasuki sekolah tersebut.