Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kesihatan mental yang baik adalah sesuatu aset yang berharga untuk individu, keluarga dan masyarakat secara amnya dalam menuju ke arah Wawasan Brunei 2035 dan perlu dipupuk dalam semua lapisan masyarakat.
Oleh itu, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam diingatkan untuk menggunakan pendekatan holistik dan bersepadu bagi mengekalkan kesihatan mental yang baik.
Peringatan itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 yang membawa tema, Sudah Tiba Masanya untuk Mengutamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja.
Yang Berhormat Dato menyatakan pendekatan holistik dan bersepadu termasuk menjaga kesihatan kerohanian melalui istiqamah dalam aktiviti keagamaan seperti solat, mengaji Al-Quran dan berzikir, menjaga kesihatan fizikal melalui senaman dan pemakanan yang sihat dan tidur yang cukup serta menjaga kesihatan sosial seperti beriadah dengan kawan-kawan dan keluarga.
Sementara itu, beliau menyatakan kementeriannya khususnya melalui usahasama Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Masyarakat serta Pusat Promosi Kesihatan juga mengambil inisiatif untuk membuat pelbagai jerayawara merentasi semua kementerian di negara ini sepanjang tahun bermula dari Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 iaitu pada 10 Oktober 2023 bagi memberikan peluang perbincangan terbuka tentang kesihatan mental serta mengurangkan stigma dalam kalangan pekerja.
Manakala itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) juga banyak berkerja rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk memperkasakan rawatan bersepadu bagi menangani masalah kesihatan mental.
Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia ini, beliau menyeru supaya setiap individu bertindak sekarang dan bertanggungjawab terhadap kesihatan mental masing-masing.
“Dengan melaburkan usaha, kerjasama daripada semua pihak dan campur tangan berasaskan bukti di tempat kerja, setiap pekerja mempunyai peluang untuk berkembang maju di tempat kerja dan dalam kehidupan,” katanya.
Terdahulu, Yang Berhormat Dato menekan-kan persekitaran kerja yang selamat dan sihat boleh bertindak sebagai faktor perlindungan untuk kesihatan mental.
Keadaan yang tidak sihat, jelasnya lagi, termasuk stigma, diskriminasi dan pendedahan kepada risiko gangguan di tempat kerja mampu menjejaskan kesihatan mental, kualiti hidup secara keseluruhan dan mengakibatkan kurang penyertaan atau produktiviti di tempat kerja.
Walaupun kehidupan bekerja amatlah penting dan boleh membawa kebaikan kepada individu, keluarga dan masyarakat, tidak dapat dinafikan masalah dalam pekerjaan yang tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada masalah kesihatan mental.
Masalah-masalah seperti buli, gangguan seksual, tekanan berlebihan atau tidak wajar di tempat kerja, ketidakseimbangan pekerjaan dan kehidupan, gaji yang tidak dibayar atau lambat dibayar termasuk gaji lebih masa, pilih kasih, masalah dihubungi di luar waktu kerja, kerja yang tidak sesuai dengan kebolehan serta kekurangan peluang untuk menjalani latihan meningkatkan kemahiran, adalah sebahagian daripada masalah yang boleh menyumbang kepada burnout dan kesihatan mental.
Akibat yang tidak dibendung boleh membawa kepada kekurangan produktiviti kerja termasuk tidak hadir kerja, kerap cuti sakit atau berhenti kerja.
“Anggaran kerugian untuk seluruh dunia berjumlah AS$1 trilion setiap tahun dan 12 bilion hari bekerja disebabkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan,” tekannya.
Oleh itu, beliau menekankan dasar-dasar yang bersifat mengutamakan kesihatan mental pekerja amatlah perlu untuk dilaksanakan demi kebaikan individu dan juga kepentingan badan-badan kerajaan dan swasta.
Antara langkah permulaan yang dapat dilakukan adalah termasuk sentiasa memastikan pendekatan terbaik untuk menyokong kesihatan mental yang positif di tempat kerja; mewujudkan suasana tempat kerja di mana setiap pekerja dapat membincangkan mengenai kesihatan mental atau cabaran yang dihadapi tanpa dinilai; mendorong hubungan baik sesama rakan sekerja termasuk aktiviti team-building seperti beriadah, bersenam atau beribadah bersama; memastikan tidak ada diskriminasi terhadap orang yang mempunyai masalah kesihatan mental; mengenal pasti pengurus yang dapat menjayakan program kesihatan mental di tempat kerja termasuk menjalani latihan asas mengenai kesihatan mental serta jika sebuah tempat kerja dapat menyediakan perkhidmatan kaunseling, perlu memastikan kaunselor itu adalah terlatih dan mematuhi etika yang baik termasuk mematuhi batas-batas perhubu-ngan serta menjaga kerahsiaan klien.