Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Orang ramai yang mempunyai keraguan mengenai dengan ubat-ubatan, suplemen kesihatan dan kosmetik yang digunakan, boleh mengemukakan pertanyaan serta mendapatkan maklumat lanjut di Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan atau daripada doktor-doktor mereka.
Jika mempunyai keraguan mengenai status produk kesihatan, kosmetik atau ubat-ubatan yang digunakan, mereka juga boleh merujuk kepada senarai ubat-ubatan dan produk kosmetik yang diharamkan melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan.
Pengarah Perkhidmatan Farmasi, Hajah Rosni binti Haji Jair menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila menggunakan ubat-ubatan iaitu ubat-ubatan barat dan ubatan-ubatan tradisional serta bahan kosmetik yang dijual di pasaran.
Mereka harus sentiasa peka mengenai penggunaan yang selamat dan betul bagi ubat-ubatan serta kosmetik yang dibeli, jelasnya lagi dalam temu bual ringkas bersama Media Permata semasa Hari Farmasi 2018 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Beliau menekankan bahawa orang ramai termasuk golongan warga emas yang menggunakan produk ubat-ubatan tradisional untuk memastikan bahawa ubat-ubatan berkenaan tidak tercemar dengan bahan-bahan haram atau dilarang.

Beliau menerangkan bahawa terdapat laporan mengenai penggunaan jus tradisional di mana pihaknya menerima aduan daripada pihak doktor mengenai jus berkenaan dan hasil daripada siasatan yang dijalankan oleh mereka, mendapati bahawa jus berkenaan mengandungi steroid.
“Penggunaan bahan steroid tanpa pengawasan atau arahan daripada pihak doktor serta penggunaannya jangka panjang adalah amat berbahaya kepada tubuh kita,” jelasnya lagi.
Hajah Rosni menerangkan bahawa melalui Perintah Ubat-ubatan 2017, semua jenis ubat-ubatan dan produk kosmetik yang dipasarkan di negara ini, perlu didaftarkan dengan Jabatan Perkhidmatan Farmasi tetapi beliau akui malangnya terdapat segelintir orang yang tidak menggunakan laluan yang betul dan memilih untuk membawa produk-produk berkenaan masuk secara haram.
Beliau berkata bahawa pihak penguatkuasaan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi terus bekerja dengan tekun untuk menangani masalah berkenaan dan walaupun ia mencabar, mereka tidak mudah berputus asa dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Pasukan Polis Diraja Brunei bagi menangani masalah itu.
Mengulas mengenai masalah penjualan ubat-ubatan dan kosmetik melalui media sosial, beliau berkata bahawa bukannya mudah untuk menangkap sumber yang membekalkan ubat-ubatan secara atas talian kerana mereka kerap menukar akaun atas talian mereka tetapi pihaknya terus memantau platform media sosial.
Pada kesempatan itu, Hajah Rosni menasihatkan para pesakit yang mengambil ubat-ubatan bagi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi untuk mengambil ubat-ubatan mereka mengikut jadual dan arahan yang terdapat pada label ubat berkenaan serta mematuhi nasihat ahli farmasi.
Mereka juga diseru untuk memastikan bahawa nama pada ubat-ubatan yang diberikan adalah betul.