SIEM REAP, 30 OGOS – Pembiayaan penjagaan kesihatan yang berdaya tahan menggunakan kaedah-kaedah pembiayaan yang praktikal dan inovatif adalah sesuatu yang penting, bukan sahaja perlu disesuaikan dengan iklim ekonomi, malah mengambil kira nilai-nilai budaya dan sosial di negara-negara ahli Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam menyarankan bagi melaksanakan modal-modal dalam penyampaian kesihatan yang kos efektif dan efisien, penjagaan kesihatan asasi perlulah diberikan keutamaan kerana ianya adalah pengawal (gatekeeper) kepada penyakit-penyakit di samping memberi akses kepada penjagaan yang menyeluruh.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohamad Isham bin Haji Jaafar yang mewakili negara, menekankan perkara itu dalam perbincangan mengenai Pembiayaan Kesihatan yang Berdaya Tahan ke arah Kesihatan untuk Semua pada Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN ke-14 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Siem Reap, Kemboja bermula 29 Ogos dan berakhir hari ini.
Beliau dalam perbincangan itu turut menyeru kerjasama ASEAN dalam pembangunan kesihatan diteruskan melalui pertukaran pandangan dan maklumat mengenai kejayaan dan cabaran pembiayaan penjagaan kesihatan yang dialami di negara masing-masing supaya dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan strategi bersesuaian di samping memberi kepentingan kepada apa jua keutamaan kesihatan di negara masing-masing.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, mesyuarat dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kebangsaan Kemboja, TYT Tea Banh yang didahului dengan satu sidang retreat menteri-menteri kesihatan ASEAN bagi membincangkan usaha-usaha menangani ubat-ubat substandard dan dipalsukan. Mesyuarat bertemakan Mempercepatkan Kesihatan bagi Semua di Rantau ASEAN bertujuan memberikan landasan penting dalam perbincangan strategik hala tuju dan bidang-bidang keutamaan kesihatan yang perlu diberi perhatian di rantau ASEAN. Ia juga dihasratkan mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang kesihatan antara negara-negara ahli dan kerjasama dengan rakan dialog dan pembangunan yang relevan.
Pada mesyuarat tersebut menteri-menteri juga telah bersepakat untuk meluluskan kenyataan bersama yang mempersetujui beberapa perkara termasuklah meneruskan perlaksanaan Agenda Pembangunan Kesihatan Pasca 2015 ASEAN, melahirkan komitmen mempromosikan kesihatan warga emas melalui kerjasama pelbagai sektor, mempercepatkan tindakan mencegah serta mengawal penyakit tidak berjangkit dan menggiatkan aktiviti pencegahannya.
Selain itu, turut disepakati dalam kenyataan bersama ialah pelan tindakan pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan, komitmen kepada deklarasi antimicrobial resistance (AMR) dan juga menangani isu-isu perubatan yang substandard dan palsu, bekerjasama memastikan keselamatan makanan serta mengukuhkan penjagaan kesihatan. Menteri-menteri juga menandatangani Agreement on Establishment of ASEAN Center for Active Ageing and Innovation (ACAI) yang akan berpusat di Thailand, diikuti mesyuarat-mesyuarat ASEAN+3 ke-8, ASEAN-China ke-7 yang membincangkan isu-isu kesihatan sejagat dan mengeluarkan kenyataan bersama.
Semasa di Kemboja, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengadakan perbincangan dua hala mengenai perkembangan sektor swasta dan kerjasama dalam bidang kesihatan dengan Menteri Kesihatan Kemboja, TYT Profesor Mam Bunheng.
