Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Utamakan toleransi di jalan raya

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Para pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mengutamakan sikap toleransi serta peka terhadap keadaan sekeliling.

    Antara punca utama kemalangan dikenal pasti berpunca daripada sikap ego ketika memandu seperti memandu perlahan di lorong kanan, memotong tanpa memberikan isyarat, berlumba haram, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

    Jika perkara berkenaan diberikan perhatian dan dicegah serta disertai sikap tolak ansur, risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa dapat diminimumkan. Walaupun mati itu pasti, umat Islam dianjurkan untuk terus berusaha menjaga keselamatan termasuk membaca doa dan berzikir sebelum memulakan perjalanan. Kerjasama semua pihak amat penting dalam menunaikan amanah keselamatan di jalan raya agar tidak mengundang kecelakaan kepada orang lain.

    Perkara tersebut dikongsikan dalam tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) semasa Munajat Khas Sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu lintas Jalan Raya Sedunia 2025, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-208 dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) melalui Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) secara dalam talian hari ini.

    Munajat Khas tersebut turut disertai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dari Surau KHEU dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi MKKJR, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, dari Surau LTAB yang turut memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan warga kerja di bawah KHEU dan MTIC serta selain ahli-ahli MKKJR. Murid-murid dan tenaga pengajar dari sekolah-sekolah di bawah KHEU dan Kementerian Pendidikan turut menyemarakkan majlis.

    Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan tahlil beramai-ramai dipimpin oleh Guru Ugama Terlatih Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil, Kawasan Brunei 2A, Jabatan Pengajian Islam, Awang Muhd Suhnoromardi bin Haji Suhaimi.

    Doa Munajat Khas dibacakan oleh Timbalan Pengetua Pengajian Tinggi Diploma ‘Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, dari musolla institut berkenaan.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah oleh warga MTIC, sebelum bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Ketua Imam, Surau LTAB, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohammad Asyraf bin Haji Bujang.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menyertai Munajat Khas Sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu lintas Jalan Raya Sedunia 2025 secara maya, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda