BRUSSELS, 2 SEPT – Agensi penyakit berjangkit Kesatuan Eropah (EU) hari ini menggesa negara-negara untuk meneruskan program vaksinasi koronavirus utama mereka dan tidak perlu memberi suntikan penggalak (booster) bagi mengekang varian Delta dalam kalangan orang awam.
Pusat Pencegahan dan kawalan Penyakit Eropah (ECDC) berkata vaksin yang diluluskan sekarang adalah ‘sangat berkesan’ dalam mengehadkan impak COVID-19.
“Keutamaan kini adalah untuk memvaksin semua individu yang layak yang belum lagi menyelesaikan kempen vaksinasi mereka,” katanya.
Selepas permulaan perlahan dalam kempen vaksin Eropah, cawangan eksekutif EU, Suruhanjaya Eropah, mengumumkan minggu ini bahawa puratanya 70 peratus orang dewasa telah sepenuhnya divaksin di seluruh blok 27 negara.
Namun kadar vaksinasi kebangsaan sangat berbeza, dengan Bulgaria dan Romania dilihat perlahan dengan program mereka.

Kelmarin, Perancis menjadi negara EU pertama memulakan suntikan penggalak vaksin COVID-19 ke atas warga emas 65 tahun ke atas yang memiliki masalah kesihatan ketika varian Delta menular di negara itu.
Manakala, pihak berkuasa kesihatan Sepanyol mempertimbangkan melakukan tindakan serupa.
ECDC berkata suntikan tambahan seharusnya dipertimbangkan ke atas orang ‘yang mempunyai sistem imun yang lemah’ jika suntikan pertama tidak cukup melindungi mereka namun ‘tidak perlu diberikan serta-merta dos vaksin booster demi memvaksin sepenuhnya individu dalam masyarakat umum.”
Ia perkara biasa bagi perlindungan vaksin untuk berkurang dari semasa ke semasa.
Namun kini, vaksin dibenarkan di EU dan AS terus menawarkan perlindungan kuat menentang penyakit teruk dan kematian, namun keupayaannya untuk mencegah jangkitan berkurang disebabkan peningkatan Delta dalam kalangan pesakit rumah jagaan dan lainnya.
Namun, masih banyak negara bergelut untuk memberikan dos pertama vaksin COVID-19 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa bagi moratorium ke atas booster dan juga menggesa kerajaan-kerajaan untuk mendermakan vaksin kepada negara yang memerlukan. – AP