BANDAR SERI BEGAWAN – Seramai 44 peserta daripada 16 perpustakaan di seluruh negara telah menerima sijil Program Pembangunan Kakitangan Perpustakaan (LSDP) 2019 pada majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Kompleks Perpustakaan Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penyampaian sijil itu ialah Penolong Pendaftar dan Setiausaha UTB, Dayang Elizah binti Raden Mas Ismail. Juga hadir pada majlis tersebut adalah Pustakawan Kanan Perpustakaan UTB, Dayang Hajah Pusparaini bin Haji Thani; kakitangan Universiti dan tetamu lainnya.
Program yang terdiri daripada tujuh bengkel itu dikendalikan oleh Thulasimani Munohsamy, yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam pengajaran dan latihan di Brunei dan luar negara. Ia diadakan dari 7 hingga 25 September di Bilik Latihan Kompleks Perpustakaan UTB. Antara tujuan program adalah mempertingkat kemahiran organisasi dan komunikasi, bekerja secara efektif dalam kumpulan dan meninjau teknik pengurusan sendiri di kalangan pustakawan dan pekerja informasi dalam negara.
Selain itu, satu lagi acara dianjurkan di perpustakaan UTB bersempena dengan Festival Konvokesyen UTB ke-6, iaitu Bazar Buku Perpustakaan Universiti Teknologi Brunei (ULBB) 2019.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UTB, lapan peserta telah mengambil bahagian dalam bazar pada tahun ini antaranya Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU-SB), Pusat Standard Nasional daripada Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (MEMI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP), dengan menjual buku-buku, alat tulis dan pakaian.

Peniaga makanan lain juga mengambil bahagian dalam acara itu.
Beberapa genre buku yang dijual di bazar termasuk pendidikan, agama, sejarah Brunei, bahasa, resipi maanan, buku kanak-kanak dan banyak lagi.
Bazar itu bertujuan memperkaya koleksi perpustakaan dengan buku akademik terbitan terbaharu, rujukan dan topik umum mengenai pelbagai bidang.
Ia juga menambah kesedaran masyarakat tentang kepentingan memperkasa pengetahuan dan budaya membaca sebagai sumber inspirasi untuk pembelajaran sepanjang hayat dalam kehidupan harian.
Bazar tersebut telah diadakan baru-baru ini di Kompleks Perpustakaan UTB.