Oleh Mu’min Karim
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Fakulti Kejuruteraan (FEng) Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Petrokon Utama Sdn Bhd (PUSB) telah memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam pelbagai aktiviti.
Majlis penandatanganan telah berlangsung di Bilik Persidangan UTB, hari ini, di mana menandatangani bagi pihak UTB ialah Naib Canselor, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman manakala itu, PUSB diwakili oleh Pengurus Besar Korporat, Haji Jamain bin Haji Mohd Lot.
Sementara itu, Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua dan Pengurus Sumber Manusia Korporat PUSB, Haji Amit bin Haji Abdul Razak selaku saksi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UTB, MoU berkenaan mula diperkenalkan pada 2017 dan diperbaharui setiap lima tahun yang menyaksikan pelbagai aktiviti bersama dikendalikan oleh UTB dan PUSB.
Antaranya ialah penyeliaan bersama Projek Akhir Tahun UTB, PUSB menjadi penaja Anugerah Cemerlang UTB bersempena dengan Majlis Konvokesyen UTB, taklimat perindustrian untuk kakitangan dan pelajar FEng, nasihat kurikulum kejuruteraan oleh ahli Lembaga Penasihat Industri (IAB), dan program penempatan pelajar melalui UTB ExperiencePLUS.
Pada MoU kali ini, PUSB mengalu-alukan penyertaan Sekolah Perniagaan dan Sekolah Pengkomputeran dan Infomatik dalam mempertingkatkan kerjasama industri-akademia dan dalam memastikan kurikulum akademik sentiasa relevan dan terkini, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan graduan yang industry-ready.
