Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    UTB dilantik jalankan kaji selidik rangkuman kewangan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah dilantik oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) untuk menjalankan Kaji Selidik Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan Negara Brunei Darussalam 2025 dari 24 Februari hingga 30 Mac.

    Antara lain tujuan kaji selidik itu adalah untuk mengukur tahap rangkuman kewangan di negara Brunei mengenal pasti sebarang jurang dan halangan, dan meningkatkan lagi akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan yang tersedia di negara ini.

    Kaji selidik ini akan melibatkan 2,600 individu dari seluruh negara untuk mewakili pelbagai lapisan penduduk. Temu bual juga akan dijalankan secara bersemuka dan akan mengambil masa tidak melebihi satu jam.

    BDCB dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini turut menjelaskan, soalan-soalan hanya akan menumpukan kepada tingkah laku, akses, keutamaan dan keperluan kewangan individu dan isi rumah.

    Pihak BDCB dan UTB ingin memberi jaminan kepada peserta kaji selidik bahawa sebarang maklumat yang dikumpul akan dirahsiakan dan digunakan untuk tujuan kaji selidik sahaja.

    Pengumpul data yang dilantik oleh UTB akan menghubungi individu yang telah dipilih untuk menjadualkan temu janji bagi menjalankan sesi temu bual serta membantu melengkapkan soal selidik.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengesahkan identiti pengumpul data dengan meminta pas kerja mereka yang dikeluarkan oleh UTB, dan jika peserta mempunyai sebarang keraguan atau kebimbangan boleh menghubungi UTB secara langsung di talian 2461020/1/2/3 pada waktu kerja.

    Selain itu, mereka juga boleh menghubungi wakil perhubungan, Profesor Kamariah Ismail dan Dr Fahmi Ibrahim, atau email ke fincsurvey@utb.edu.bn

    Sokongan dan kerjasama peserta dalam menjayakan kaji selidik adalah sangat dihargai dan akan memberi sumbangan yang bermakna ke arah meningkatkan rangkuman kewangan di Negara Brunei Darussalam.

    Gambar Pexel
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda