BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Pasukan Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menjuarai pertandingan kejuruteraan dinamakan ‘Connecting Engineering’ yang dianjurkan bersama oleh Institut Jurutera Mekanikal Pelajar UTB (IMechE UTB SC) bersama Institusi Jurutera Mekanikal Curtin Miri (IMechE Curtin Miri), baru-baru ini.
Dalam pertandingan yang diadakan di Curtin University Malaysia di Miri, Sarawak pada 19 April lalu itu, dua pasukan lain UTB mendapat tempat keempat dan keenam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UTB, sekumpulan 15 orang pelajar Program Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan UTB bersama tujuh ahli jawatankuasa daripada IMechE UTB SC dengan diketuai oleh pengerusinya, Haji Abdul Rahman bin Haji Modin dan perwakilan IMechE Brunei Group serta sekumpulan 15 orang pelajar dari Curtin University Malaysia dan 14 ahli jawatankuasa dari IMechE Curtin Miri telah menyertai acara berkenaan.
Acara sehari berkenaan telah didahului dengan taklimat yang disampaikan Pengerusi Miri Occupational Safety and Health Practitioner Society (MOSHPS) dan pemilik Maju Training Centre, Dr Julia Jolly yang menyentuh mengenai keselamatan.
Haji Abdul Rahman pula menyentuh mengenai kerjaya dalam penjanaan tenaga manakala itu, pensyarah dari Universiti Tenaga National (UNITEN), Malaysia, Chua Yaw Long membentangkan mengenai kreativti.
Kemudian, acara diikuti dengan pertandingan yang melibatkan lukisan kejuruteraan, membina pelancar, Speed Pairing dan menara yang diperbuat daripada surat khabar.
Para pelajar dibahagikan kepada tiga pasukan dengan lima ahli untuk mewakili setiap universiti. Setiap pasukan dinilai oleh panel hakim yang termasuk pensyarah dari Curtin University Malaysia, Aja Ogboo Chikere dan Haji Abdul Rahman.
Menerusi pertandingan berkenaan, para pelajar mempelajari kepentingan lukisan kejuruteraan dalam industri, konsep di sebalik struktur pelancar dan asas praktikal yang diperlukan dalam pembangunan seperti kiraan, pemboleh ubah, teori-teori dan prinsip yang terlibat.
Antara tujuan pertandingan berkenaan yang merupakan kolaborasi pertama antara kedua-dua institusi berkenaan, adalah untuk menyumbang kepada profesionalisme menerusi kerjasama institusi-institusi kejuruteraan dan membentuk jurutera-jurutera masa depan.
