Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Sebanyak 314 projek pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Brunei (UTB) dikumpulkan dalam Pameran Projek 2023 anjuran Sekolah Matematik dan Sains Gunaan (SASM) di Dewan Serbaguna dan Blok Kejuruteraan Biasa (CEB), Fasa 3 UTB, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan pameran bertemakan Memperkasakan Kreativiti dan Inovasi ke Arah Masa Depan Mampan itu ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman yang turut mengadakan lawatan ke petak-petak pameran.
Pameran sehari itu direka untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian cemerlang pelajar sarjana muda tahun akhir di semua fakulti dan sekolah.
Ia juga bertujuan untuk mempamerkan kualiti luar biasa projek di samping berfungsi sebagai platform untuk pelajar mempamerkan dan menyampaikan idea dan kreativiti mereka kepada orang ramai.
Acara tersebut turut menyediakan peluang berharga untuk organisasi swasta dan awam mengenal pasti bakat yang menjanjikan dan prospek kerjaya yang berpotensi.
Pameran projek berkenaan disertai oleh pelajar dari SASM, Fakulti Kejuruteraan (Feng) Sekolah Pengkomputeran dan Informatik (SCI), Pusat Pengajian Perdagangan UTB (UTB-SB), Sekolah Reka Bentuk (SDe), dan Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL).
Dekan SASM yang juga pengerusi pameran projek tahun ini, Dr Namasivayam Navaranjan antara lain menjelaskan, pameran berkenaan memberi peluang untuk mengenal pasti graduan yang berpotensi untuk pekerjaan segera dan masa hadapan di institut awam dan swasta.
“Pameran ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk memenangi anugerah pilihan yang dianugerahkan kepada setiap sekolah dan fakulti berdasarkan undian dari pelawat ke pameran itu,” jelas beliau.
Acara berkenaan diadakan sempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama agensi kerajaan dan antarabangsa, badan berkanun, institusi pengajian tinggi, agensi swasta dan pihak berkepentingan.
Brunei MYCE 2023 juga sepenuhnya disokong oleh beberapa rakan media rasmi, Radio Televisyen Brunei (RTB), Jabatan Penerangan (Pelita Brunei) dan Brunei Press Sdn Bhd.