Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    UTB kurnia ijazah kehormat

    Gambar Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam Bidang Kejuruteraan (Honorary Doctorate in Engineering).

    Pengurniaan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kejuruteraan itu disembahkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman pada Majlis Konvokesyen ke-5 UTB yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas semalam.

    Dalam petikan yang dibacakan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, dengan berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menerajui kerajaan Negara Brunei Darussalam, rakyat dapat menyaksikan dan menikmati perkembangan pesat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

    “Tujuan murni Baginda adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat agar mereka berada dalam keselesaan, aman dan makmur,” ujar beliau.

    Baginda Sultan berkenan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Kejuruteraan.

    Salah satu sumbangan Baginda Sultan dalam bidang tersebut adalah galakan kepada pelbagai agensi kerajaan, institusi berkaitan dan industri mengembang luaskan bidang penyelidikan dengan cara membekalkan infrastruktur dan kemudahan berkualiti tinggi, menyalurkan dana penyelidikan melalui Majlis Penyelidikan Brunei dan sumber manusia untuk memastikan kemajuan pesat sains dan teknologi.

    Menurut Profesor Dr. Hajah Zohrah lagi, Baginda Sultan menekankan kepentingan pendidikan STEM yang mana ia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan yang mapan dan kestabilan ekonomi negara.

    Beliau juga mengetengahkan sumba-ngan Baginda terhadap prasarana fizikal dan kemudahan asas bagi keselesaan rakyat dan penduduk negara, antaranya dengan pembinaan jambatan-jambatan penghubung dari Jalan Residency ke Kampung Sungai Kebun dan dari Bandar Seri Begawan (BSB) ke Temburong.

    Selain itu, Profesor Dr. Hajah Zohrah turut menyenaraikan sumbangan Baginda terhadap pembangunan infrastruktur sistem maklumat dan komunikasi, termasuk melancarkan sistem kabel dasar laut antarabangsa bagi menyediakan komunikasi alternatif antarabangsa untuk memenuhi permintaan perkhidmatan Internet terutama penstriman video dan multimedia yang semakin meningkat.

    Menurut beliau, kerajaan juga memperkenankan pelaksanaan projek Fibre-To-The-Home bagi menyediakan infrastruktur jalur lebar yang menyeluruh bagi menampung trafik data yang kian pesat.

    “Sumbangan ini membawa kepada kemajuan internet berkualiti tinggi untuk orang ramai, seterusnya meningkatkan daya saing negara dan boleh menjadi satu daya tarikan serta meningkatkan keyakinan pelabur kepada negara,” tambahnya.

    Di samping itu, Baginda juga banyak menyumbang dalam teknologi industri minyak dan gas serta penghasilan tenaga alternatif.

    Menurutnya, sebuah loji penjanaan kuasa telah dibina dan secara rasminya diserahkan kepada kerajaan Brunei pada tahun 2010 bagi menjimatkan pengeluaran minyak dan gas agar lebih optimum selaras dengan keperluan negara.

    Jelasnya, Baginda memperkenankan pembinaan dua tapak perindustrian iaitu Sungai Liang Industrial Park (SPARK) di mana hasilnya adalah penubuhan kilang metanol pertama di negara ini dan Pulau Muara Besar yang dihasratkan memajukan perkhidmatan sokongan dan hiliran minyak seperti penapisan petrokimia.

    Profesor Dr. Hajah Zohrah turut memuji dasar Baginda yang menyokong sepenuhnya pembangunan dan perkembangan negara agar rakyat hidup dalam keselesaan, aman dan makmur telah mendapat pengiktirafan seluruh dunia.

    “Baginda telah dianugerahkan Ijazah Kehormat daripada pelbagai universiti tempatan dan luar negara termasuk Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, King’s College of London, National University of Singapore, University of Oxford, Queensland University, Chulalongkorn University, University of Indonesia, Universiti Malaya, Beijing Foreign Studies University dan University Sains Malaysia,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda