Tuesday, December 24, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UTB lancar kenderaan PAHLAWAN IX

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah melancarkan versi 2025 kenderaan PAHLAWAN IX, hari ini, untuk pertandingan Shell Eco-Marathon (SEM) Asia Pasifik dan Timur Tengah 2025 yang akan datang.

    Majlis pelancaran yang diadakan di lobi utama universiti berkenaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengurus Pasukan UTB Eco-Drive 2025, Awang Zikry Amani bin Azma’in.

    Detik bersejarah itu diserikan dengan tayangan multimedia yang memaparkan perjalanan Pasukan UTB Eco-Drive pada tahun 2024 dan memperkenalkan pasukan dinamik untuk tahun 2025.

    Pasukan UTB Eco-Drive 2025 akan mempamerkan kenderaan prototaip dalam kategori Bateri Elektrik di SEM Asia-Pasifik dan Timur Tengah 2024 yang akan datang di mana pertandingan berprestij itu akan diadakan dari 8 hingga 12 Februari 2025, di Litar Antarabangsa Lusail di Doha, Qatar.

    SEM bertujuan untuk memperkasakan golongan pemimpin tenaga generasi akan datang, dan pada tahun ke-40, pertandingan 2025 itu menawarkan pelajar dari rantau ini peluang untuk menguji reka bentuk, teknologi dan kemahiran kejuruteraan mereka dengan kenderaan yang cekap tenaga, di dalam dan di luar trek.

    Penglibatan UTB dalam acara berprestij itu sejajar dengan Wawasan 2035, memfokuskan pembangunan pendidikan kepada memupuk belia yang berpengetahuan, berkemahiran dan berjaya, yang bersedia untuk menangani cabaran global.

    UTB mengucapkan penghargaan kepada penaja-penaja yang antaranya Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Brunei Gas Carrier (BGC), GHK Motors Sdn Bhd, Dynamik Technologies, Armada Properties Sdn Bhd, imagine Sdn Bhd, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan beberapa syarikat-lainnya atas sokongan dan sumbangan mereka yang memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah, melihat lebih dekat lagi kenderaan PAHLAWAN IX semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UTB
    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dan Pasukan UTB Eco-Drive 2025 bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UTB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda