Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Dalam usaha menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan, seni, linguistik dan budaya antara Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Universiti Turkiye, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy, telah menyumbangkan 47 buah buku yang merangkumi pelbagai subjek, termasuk sastera, sejarah, seni dan sains kepada UTB dengan kerjasama Turkish Cooperation and Coordination Agency (TIKA), sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, Turkiye.
Penyerahan yang diadakan di Perpustakaan UTB, Kompleks Perpustakaan petang tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Mohamad Saiful bin Haji Omar dan ucapan daripada TYT Profesor Dr Hamit Ersoy.
Acara diteruskan dengan sumbangan buku dan pelancaran Sudut Buku Turkiye di Perpustakaan UTB.
Penubuhan Sudut Buku Turkiye menyediakan ruang khusus kepada pelajar, fakulti dan penyelidik UTB untuk menyelami warisan intelektual Turkiye.
Dalam ucapannya, Dr Mohamad Saiful merakamkan ucapan terima kasih kepada Kedutaan Republik Turkiye dan TIKA atas kemurahan hati dan sokongan mereka dalam meningkatkan sumber akademik UTB. Beliau menekankan peranan sudut buku dalam memupuk dialog silang budaya dan perspektif global dalam komuniti UTB.
Sementara itu, TYT Profesor Dr Hamit Ersoy dalam ucapannya menekankan sumbangan hanyalah permulaan kerjasama jangka panjang di mana Turkiye, bersama 209 universitinya (129 negeri, 80 swasta), telah menjadi pusat tarikan penting bagi pelajar antarabangsa dan usaha untuk meningkatkan kerjasama global melalui perjalanan, pekerjaan, pendidikan dan peluang bagi latihan internship.
Sudut Buku Turkiye juga mencerminkan komitmen universiti untuk menyediakan sumber pendidikan yang pelbagai, menggalakkan pertukaran budaya dan memajukan kecemerlangan akademik.
Selain itu, ia juga melambangkan perpaduan antara Brunei dan Turkiye, seterusnya menggalakkan persefahaman bersama dan mengukuhkan ikatan antara kedua-dua negara.