Thursday, January 30, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    UTB lonjak kedudukan dalam Times Higher Education

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah berjaya membuktikan pencapaian yang cemerlang dalam peringkat antarabangsa apabila mencatat ranking dalam kategori 601-800 band for Engineering in the Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 by Subject’.

    Pencapaian berkenaan menekankan pengaruh yang semakin meningkat bagi UTB dalam pendidikan tinggi global dan peranannya yang penting dalam memajukan aspirasi pembangunan Brunei.

    Dalam kenyataan Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Mohamad Saiful bin Haji Omar, “Pencapaian antarabangsa yang cemerlang ini mencerminkan komitmen UTB untuk membina hubungan dan kerjasama yang bermakna yang memberi manfaat kepada Brunei dan komuniti global. Pengiktirafan ini adalah bukti kepada dedikasi staf, pelajar, dan rakan industri kami dan ia adalah pencapaian yang patut dibanggakan oleh kita semua.”

    “Dengan dorongan visi strategik UTB, pencapaian ini menonjolkan komitmen berterusan kami untuk membangunkan pendidikan kejuruteraan bertaraf dunia di UTB. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua staf dan pelajar yang telah menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan Fakulti Kejuruteraan di UTB,” kata Dekan Fakulti Kejuruteraan, Dr Tan Soon Jiann.

    Fakulti Kejuruteraan yang menawarkan program-program khusus dalam Kejuruteraan Awam, Elektrik dan Elektronik, Mekanikal, serta Kimia dan Kejuruteraan Tenaga telah memainkan peranan penting dalam mencapai pengiktirafan ini.

    Program-program ini direka untuk melengkapkan para pelajar dengan pengetahuan teori disertai aplikasi praktikal, mempersiapkan graduan untuk menghadapi cabaran global semasa termasuk tenaga lestari dan kemajuan teknologi.

    Prestasi UTB dalam ranking THE yang menilai institusi berdasarkan pengajaran, penyelidikan, sitasi, pandangan antarabangsa dan pendapatan industri terutamanya menonjolkan kehadiran di peringkat antarabangsa yang kukuh.

    Kerjasama universiti dengan pemimpin industri telah mengukuhkan kedudukannya dalam menghubungkan kecemerlangan akademik dengan inovasi praktikal.

    Pencapaian ini selaras dengan visi Wawasan 2035 Brunei, yang menekankan pembangunan profesional berkemahiran tinggi dan pertumbuhan ekonomi lestari. Komitmen UTB terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memastikan graduan dilengkapi untuk mengharungi dan menyumbang kepada landskap global yang semakin berkembang.

    UTB menganggap pencapaian ini sebagai hasil daripada kepimpinan dan sokongan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Canselor UTB

    Kemajuan UTB dalam ranking global ini mengukuhkan komitmennya terhadap kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan sekali gus menyumbang kepada transformasi Brunei menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan sambil memupuk bakat masa depan yang bersedia menghadapi cabaran global. 

    UTB tingkat kedudukan global.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda