Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Makan Ceria Sdn Bhd, pengendali McDonald’s Brunei, menubuhkan kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam majlis yang berlangsung di McDonald’s Jerudong Park, kelmarin.
Kolaborasi berkenaan bermatlamat untuk meningkatkan kerjasama dalam penyelidikan, pendidikan dan latihan dengan tumpuan khusus kepada Program Teknologi dan Sains Makanan.
Pada majlis berkenaan, MoU ditandatangani oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Pengerusi Makan Ceria Sdn Bhd, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan.
Menerusi kerjasama itu, pelajar-pelajar UTB akan berpeluang mendapatkan pengalaman industri berharga dengan penyertaan dalam penempatan industri dan projek penyelidikan bersama khususnya yang berkaitan dengan teknologi dan sains makanan.
Pada masa yang sama, MoU itu juga memudahkan pertukaran kakitangan bagi lawatan belajar, pengajaran dan latihan, memupuk kepakaran dan ilmu pengetahuan bersama antara akademia dan industri.
Kedua-dua belah pihak juga komited untuk meneroka dan mengembangkan penyelidikan kolaboratif, seminar dan projek-projek dalam bidang-bidang kepentingan bersama seperti keselamatan makanan dan teknologi pemprosesan makanan.
Usaha kolaboratif berkenaan bermatlamat untuk memajukan pembangunan profesional dan pendidikan di Brunei khususnya dalam bidang teknologi dan sains makanan.
MoU berkenaan adalah efektif bagi tempoh lima tahun dengan pilihan untuk pembaharuan demi mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak terhadap kerjasama berkenaan serta mengembangkan impak kepada akademia dan industri tempatan.
