Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UTB, MC meterai MoU

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan pihak swasta terus dikukuhkan serta dipertingkatkan di mana usaha bersama telah diketengahkan dalam mempromosikan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan yang mampan.

    Ke arah itu, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Mitsubishi Corporation (MC) melakarkan mercu tanda kolaborasi signifikan antara kedua-dua entiti berkenaan menerusi penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dalam majlis yang berlangsung di Bilik Persidangan Utama, UTB, hari ini.

    Hadir untuk menandatangani bagi pihak UTB ialah Naib Canselor, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan bagi pihak MC ialah Wakil Negara MC, Tadashi Hara.

    Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah menyatakan bahawa MoU antara UTB dan MC telah dimeterai pada 9 Ogos 2021 yang menyaksikan tajaan berjumlah $10,000 untuk lima orang pelajar UTB dan MoU yang dimeterai hari ini, juga menyaksikan tajaan bagi lima orang pelajar universiti berkenaan bagi 2023.

    Sumbangan tajaan yang diterima daripada MC, jelas Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah, menunjukkan komitmen kuat MC kepada menyokong pengajian tinggi dan mencerminkan kepercayaan mendalam kepada potensi pelajar-pelajar UTB untuk cemerlang dalam pengajian akademik mereka.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dan Tadashi Hara bertukar-tukar dokumen MoU pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dan Tadashi Hara bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan UTB dan MC semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Di samping MoU tajaan, beliau menyatakan bahawa UTB dan MC juga menandatangani satu lagi MoU bagi sumbangan sebuah kenderaan elektrik (EV) daripada MC.

    Beliau berkata, EV berkenaan merupakan satu sumber yang amat berharga dalam projek stesen pengecas EV berkuasa solar yang sedang dilaksanakan dan ia juga akan membantu pelajar dan ahli akademik UTB dalam penyelidikan serta pembelajaran mereka.

    “Menjadi harapan kami dengan adanya EV ini, akan mengukuhkan projek-projek berkaitan EV, menyumbang ke arah menyokong pembangunan inovasi dan kemampanan di UTB dan Brunei Darussalam,” tambahnya.

    Sementara itu, Tadashi Hara dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa sumbangan i-MiEV yang merupakan kenderaan elektrik Mitsubishi Motors, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh UTB sebagai universiti teknologi unggul di Brunei bagi tujuan pendidikan.

    MoU pertama yang dimeterai menumpukan kepada tajaan lima orang pelajar UTB oleh MC bagi 2023 yang berjumlah keseluruhannya $10,000. Tajaan itu bertujuan untuk menyokong perjalanan akademik pelajar-pelajar yang layak dengan menyediakan bantuan kewangan untuk mencapai matlamat pendidikan mereka.

    MoU kedua pula menyaksikan sumbangan sebuah EV kepada UTB di mana ia akan menjadi aset yang berguna bagi universiti yang membolehkan pelajar serta kakitangan akademik untuk terlibat dalam pembelajaran, inovasi dan penyelidikan berkaitan EV.

    Ia juga menunjukkan komitmen MC kepada menyokong inisiatif kemampanan dan memupuk inovasi di UTB serta Negara Brunei Darussalam.

    Kolaborasi itu juga menyediakan lebih banyak peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar UTB, memacu kemajuan teknologi serta menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan UTB serta Negara Brunei Darussalam secara keseluruhannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda