Sunday, March 16, 2025
27.7 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

UTB meriahkan Bandarku Ceria

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Sebagai sebahagian daripada Pesta Konvo ke-4 Universiti Teknologi Brunei (UTB), ‘Innov8 Run & Cycle’, ‘Innov8 Pop Up Vendor’ dan ‘UTB Photomarathon’ telah diadakan kelmarin di ibu negara bagi memeriahkan Program Bandarku Ceria.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada acara itu ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman. Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama, kakitangan dan para mahasiswa dan mahasiswi UTB.

Acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan tetamu kehormat memotong reben bagi merasmikan UTB Photomarathon dan Innov8 Pop Up Vendors, sekali gus sebagai simbol permulaan Innov8 Run & Cycle.

Menurut kenyataan UTB, ‘Innov8 Pop Up Vendor’ yang diadakan di sepanjang Jalan Sultan Omar Ali Saifuddien, dianjurkan oleh Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Ekonomi dan Keusahawanan di bawah Majlis Perwakilan Pelajar UTB.

Objektifnya adalah untuk menghimpunkan alumni UTB, kakitangan dan para pelajar serta meningkatkan minat keusahawanan mereka.

‘UTB Photomarathon’ pula adalah pertandingan fotografi pertama yang dianjurkan oleh Kelab Fotografi UTB. Ia mengumpulkan bakat-bakat fotografi dari pelbagai peringkat usia.

Para peserta mengambil satu siri gambar mengenai subjek-subjek yang telah ditentukan terlebih dahulu dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Gambar-gambar berkenaan kemudian dihakimi dari segi teknik fotografi dan kreativiti dalam menterjemahkan tema.

Pesta Konvo ke-4 UTB telah dirasmikan pada 16 September 2017 dengan tema ‘Innov8’ yang diambil daripada perkataan ‘Innovate’.

Ia membawa makna membuat perubahan kepada keadaan kini dengan memperkenalkan sesuatu yang baru, proses baru, idea baru, metode baru atau produk baru.

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda