UTB, Micronet meterai perjanjian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) telah memeterai memorandum perjanjian bagi Program Penghubung Satellite Partners-UTB iaitu program penghubungan dalam pengkomputeran yang ditawarkan oleh MIC.

Majlis penandatanganan memorandum perjanjian berkenaan telah diadakan di Bilik Acara, MIC Kampus Jerudong, hari ini.

Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak UTB ialah Naib Canselor, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dengan disaksikan Penolong Naib Canselor (Akademik), Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh manakala itu, menandatangani bagi pihak MIC ialah Pengarah Urusan, Sylvester Yong dengan disaksikan Pengurus Besar, Sharon Chin.

Turut hadir semasa majlis penandatanganan berkenaan ialah pegawai-pegawai utama UTB dan MIC.

Majlis turut menyaksikan Profesor Dr Hajah Zohrah menyempurnakan penyampaian sijil tamat program kepada lapan orang pelajar BriCOMP yang telah menamatkan program selama 14 minggu di MIC.

Di bawah perjanjian berkenaan, MIC menawarkan laluan kemasukan ijazah sarjana muda selama 14 minggu bagi pelajar-pelajar lepasan ‘A’ Level yang kekurangan mata minimum bagi kemasukan ke dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran di UTB khususnya BSc (Hons) in Digital Media, BSc (Hons) in Creative Multimedia, BSc (Hons) in Computing (Major in Software Development), BSc (Hons) in Computing (Major in Data Analytics), BSc (Hons) in Computer and Information Security serta BSc (Hons) in Computer Networking di mana program berkenaan bertujuan untuk menyediakan para pelajar ilmu pengetahuan dan kemahiran asas dalam pembelajaran program itu.

Setelah menamatkan program penghubung dalam pengkomputeran, para pelajar akan menyertai UTB pada tahun pertama dalam program ijazah sarjana muda pilihan mereka.

Pada pengambilan April 2020, MIC telah melancarkan pengambilan pertama Program BriCOMP UTB selama 14 minggu dan lapan orang pelajar menamatkan program itu serta menerima kemasukan dalam program ijazah sarjana muda tahun pertama di UTB.

Pengambilan seterusnya bagi program BriCOMP akan bermula pada April 2021.

Profesor Dr Hajah Zohrah (dua dari kiri) dan Sylvester Yong (dua dari kanan) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di antara Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Kolej Antarabangsa Micronet, kelmarin.
Profesor Dr Hajah Zohrah dan Sylvester Yong bergambar ramai bersama pelajar dan warga dari kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut selepas memeterai perjanjian.