Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Bagi meningkatkan pengetahuan, pengalaman, imej dan keperibadian graduan dalam menyediakan diri untuk temuduga, bengkel bertajuk ‘Interview Persona’ telah diadakan di Universiti Teknologi Brunei (UTB) kelmarin.
Bengkel sempena ceramah kerjaya UTB itu dikendalikan oleh tiga pemudah cara terdiri daripada pensyarah Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL) di UTB iaitu Dr Malai Yunus bin Malai Yusof, Dr Malai Zeiti Sheikh Abdul Hamid serta Dr Norihan Abu Hassan dan seorang wakil dari Sanyo Engineering and Construction (SEC Mashibah), Jevons Quiamboa Penaflor yang juga merupakan seorang graduan UTB.
Sepanjang bengkel berkenaan, persembahan video slaid dan interaktif digunakan untuk membantu pelajar menggunakan kemahiran penting ketika menghadapi temuduga sebenar bersama majikan pada masa akan datang.
Pembentangannya bermula dengan Jevons berkongsi pengalaman dan memberikan petunjuk penting berkenaan dengan tingkah laku dan sikap yang perlu ada dan jujur terhadap pekerjaan.
Bengkel ini juga menyaksikan Dr Malai Yunus menyentuh tentang petua-petua dan tips dandanan pada aspek keperibadian, manakala Dr Malai Zeiti dan Dr Norihan pula membantu peserta untuk membuat senario temuduga pekerjaan.
