Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Seramai 32 orang pelajar cemerlang Universiti Teknologi Brunei (UTB) menerima anugerah Senarai Dekan dan aktiviti ko-kurikular sempena Majlis Konvokesyen UTB 2019 pada majlis yang diadakan di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan UTB, hari ini.
Hadir menyampaikan anugerah-anugerah tersebut ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Daripada jumlah penerima anugerah itu, 28 orang menerima anugerah Senarai Dekan manakala itu, empat lagi penerima anugerah aktiviti Ko-Kurikulur iaitu Outsanding Life Skill Achiever, Sports Man of UTB, Sports Woman of UTB dan Religious Awards.
Pemangku Naib Canselor UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib dalam ucapannya menjelaskan, anugerah dekan dikhususkan bagi pelajar Tahun 1 hingga 3 Fakulti Kejuruteraan serta pelajar Tahun 1 dan 2 Sekolah Perdagangan UTB, Sekolah Pengkomputeran dan Informatik dan Sekolah-Sekolah Sains Gunaan dan Matematik.
“Manakala anugerah aktiviti ko-kurikulur pula adalah bagi pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam kegiatan agama, kemahiran hidup, kemasyarakatan dan sukan,” jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan, penganugerahan berkenaan merupakan pengiktirafan dan penghargaan universiti atas pencapaian dan kecemerlangan pelajar dalam bidang masing-masing.
Pelajar yang terpilih berkenaan, jelas beliau, adalah mereka yang mendapat markah keseluruhan sekurangnya 75 peratus dan mereka juga tergolong antara pelajar yang tergolong 5 peratus teratas dalam program masing-masing pada sesi akademik lepas.
“Berdasarkan kriteria itu, tidak diragukan lagi, penerima merupakan pelajar cemerlang dalam bidang akademik, bermotivasi, mempunyai outlook yang positif dan disiplin tinggi,” tambahnya.
Beliau seterusnya menambah, UTB akan terus membukakan peluang bagi pelajar untuk memperkayakan pengalaman kurikulum dan ko-kurikulur sepanjang pengajian mereka di universiti berkenaan supaya pengalaman ini akan dapat menjadi nilai tambah kepada ijazah yang akan mereka perolehi nanti. Salah seorang penerima anugerah Ko-Kurikulur, Dayang Siti Nur Syazwani binti Haji Sabtu yang sempat ditemui melahirkan rasa syukur dengan anugerah yang diperolehi.
“Kejayaan ini diperolehi berkat sokongan daripada ibu bapa dan warga UTB di samping penglibatan dalam majlis pelajar UTB turut dapat membantu saya meningkatkan diri dari pelbagai segi seperti kemahiran, kepimpinan dan berinteraksi,” jelas graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Dalam Kejuruteraan Mekatronik itu yang menerima Outstanding Life Skill Achiever.