Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Bagi meraikan pencapaian dan tamatnya pengajian kohort pertama pelajar di bawah Biasiswa Keselamatan Siber MSc ASEAN Cyber Shield (ACS), Sekolah Pengkomputeran dan Informatik (SCI), Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah mengadakan Majlis Malam Penghargaan ACS 2025 yang berlangsung di Restoran Tarindak D’Polo, Jerudong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah bin Haji Sulaiman.
Turut hadir ialah Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook; Duta Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio; serta para jemputan khas.
Majlis menyaksikan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Dekan SCI, Dr Haji Sharul Tazrajiman bin Haji Tajuddin dan diikuti dengan ucapan wakil pelajar, Awang Abdul Khaliq bin Saifullizan.
Majlis seterusnya menyaksikan tayangan video mengetengahkan perjalanan dan impak inisiatif ACS dan diikuti dengan penyampaian sijil serta cenderahati kepada para pelajar yang diraikan oleh Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah.
Inisiatif ACS di UTB merupakan sebuah komitmen strategik dalam memajukan kepakaran keselamatan siber di serata rantau, dibiayai oleh ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF) daripada Kerajaan Republik Korea.
Program itu melengkapkan para pelajar dengan kemahiran kritikal untuk menangani cabaran-cabaran sekuriti digital yang pesat berubah. Inisiatif berkenaan adalah selaras dengan visi UTB sebagai ‘Universiti Global Masa Depan’, memacu inovasi, kecemerlangan penyelidikan dan penglibatan industri dalam transformasi digital dan keselamatan siber.
Program yang dibiayai dengan AKCF daripada Kerajaan Republik Korea mencerminkan komitmen bersama kepada memajukan pendidikan keselamatan siber dan kolaborasi merentasi rantau berkenaan.



