Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Universiti Teknologi Brunei (UTB) muncul sebagai juara keseluruhan Piala Canselor 2024 yang melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutup penuh meriah di Pusat Kesenian Pro-Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini.
Majlis penutup berkenaan menandakan kemuncak kepada pertandingan berprestij yang menghimpunkan para pelajar dari institusi pengajian tinggi seluruh negara dalam semangat persaingan sihat, kepimpinan dan kecemerlangan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), para jemputan khas, peserta dan pelajar-pelajar dari institusi yang mengambil bahagian.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan lagu rasmi UBD oleh Kelab Koir UBD, disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh mantan Ketua Eksekutif Hal Ehwal Kerohanian dan Keagamaan MPP 2024/2025, Awang Muhamad Hadi Hamizan bin Syahrul Nizam.
Pada majlis berkenaan, ucapan alu-aluan disampaikan oleh mantan Presiden MPP UBD 2024/2025, Awang Muhammad Zulkhairi Jifli bin Jainuddin.
Kemuncak acara menyaksikan perlawanan akhir pertandingan kuiz antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan UTB yang memperlihatkan kebijaksanaan, kerjasama berpasukan dan semangat kompetitif para peserta.
Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang kuiz serta penyerahan rasmi Piala Canselor kepada UTB selaku juara keseluruhan.
Keputusan akhir Piala Canselor 2024 menyaksikan UTB yang muncul sebagai juara, diikuti oleh UBD di tempat kedua dan tempat ketiga pula dimenangi oleh UNISSA, manakala tempat keempat dimenangi oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik bendera Piala Canselor sebagai tanda kesinambungan tradisi berprestij ini, diikuti sesi bergambar bersama para pemimpin pelajar dan para jemputan khas.
Satu persembahan penutup yang meriah turut mengakhiri acara, menzahirkan semangat persahabatan dan perpaduan dalam kalangan pelajar.
Piala Canselor 2024 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam penglibatan pelajar, pemantapan jaringan antara institusi serta pembangunan nilai kepimpinan dalam kalangan generasi muda negara.