Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    UTB rintis projek stesen pengecasan EV

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT — Dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri bagi menyokong matlamat kelestarian negara, Universiti Teknologi Brunei (UTB) menandatangani dua memorandum perjanjian (MoA) dengan Berjaya Sdn Bhd dan Han SL Sdn Bhd di Bangunan Mutiara UTB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan MoA itu ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, sebagai tetamu kehormat.

    Perjanjian pertama antara UTB dan Berjaya Sdn Bhd bertujuan menjalankan projek penyelidikan kebolehlaksanaan Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) Berkuasa Tenaga Suria, di mana ia akan meneroka penggunaan tenaga suria dalam infrastruktur pengecasan EV di negara ini, sejajar dengan matlamat negara ke arah kelestarian dan pengurangan jejak karbon.

    Menandatangani bagi pihak UTB ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Mohamed Hasnain Isa, manakala Berjaya Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya, Pengiran Irwan @Pengiran Irwan Ab Rahaman bin Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman.

    Majlis tersebut disaksikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pengangkutan (CfTR) UTB, Dr Hajah Wida Susanty binti Haji Suhaili, dan Ketua Jualan Berjaya Sdn Bhd, Kelly Chin Kee Lee.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah bergambar ramai semasa acara tersebut. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    Menurut perjanjian tersebut, Berjaya Sdn Bhd akan menyediakan kenderaan elektrik NETA EV untuk penyelidikan. Penyelidik UTB akan menjalankan kajian mengenai potensi penggunaan sistem pengecasan berkuasa suria bagi EV, dan hasil kajian dijangka diterbitkan dalam jurnal akademik.

    Sumbangan Berjaya Sdn Bhd kepada penyelidikan ini diakui sebagai langkah penting dalam memajukan inovasi teknologi hijau di negara ini.

    Dalam perjanjian kedua, UTB juga menandatangani MoA dengan Han SL Sdn Bhd yang akan memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan, pendidikan, dan latihan khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi, serta infrastruktur EV.

    Perjanjian tersebut dimeterai oleh Pengurus Besar Han SL Sdn Bhd, Ramil Luna Triambulo, dan disaksikan oleh Pakar Rangkaian Pengecasan EV, Awang Mohamad Jairul Nizam bin Haji Mohamad Jait.

    Kerjasama itu bertujuan untuk memacu penyelesaian pengangkutan mampan, di samping memajukan inovasi dalam teknologi dan kejuruteraan, yang secara langsung menyumbang kepada masa depan hijau Brunei.

    Perjanjian itu juga mengukuhkan lagi kedudukan UTB dalam bidang penyelidikan antarabangsa, sekali gus meningkatkan potensi Brunei sebagai hab inovasi teknologi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda