Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UTB-STE Connect dirasmi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor, Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenan berangkat menyempurnakan perasmian UTB Science, Technology and Engineering Connect (UTB-STE Connect) 2023 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis UTB, pegawai-pegawai kanan kerajaan, jemputan khas, kakitangan dan pelajar UTB.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dalam sembah alu-aluannya menyembahkan bahawa kongres yang membawa tema Penyelidikan dan Aplikasi bagi Sebuah Dunia Yang Lebih Baik, telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan dengan pembentangan hampir 300 kertas kerja daripada 16 buah negara.

    Salah satu hasil daripada kongres berkenaan, tambahnya, adalah penerbitan dapatan penyelidikan oleh Elsevier, IEEE, Taylor and Francis.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bergambar ramai pada majlis perasmian UTB-STE Connect 2023 di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima junjung ziarah pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah ke majlis perasmian UTB-STE Connect 2023 di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda dan menyempurnakan UTB-STE Connect 2023.

    Majlis seterusnya menyaksikan sesi pleno dengan penyampaian ucaptama bertajuk Research and Innovation in Facing Emerging Global Challenges: The What and How? oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail.

    Dalam ucaptama pleno berkenaan, beliau mengongsi mengenai cabaran-cabaran global yang dihadapi masa kini iaitu alam sekitar, tenaga, air, makanan dan kesejahteraan masyarakat.

    Beliau juga mengongsi mengenai usaha yang dilaksanakan dalam meletakkan UTM di mata dunia dengan memainkan peranan di peringkat global serta bagaimana UTM menangani isu-isu global menerusi projek-projek antarabangsa UTM.

    Di samping itu, beliau turut mengongsi mengenai usaha UTM dalam menangani isu-isu global yang berlaku di Malaysia.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan cenderahati kepada Profesor Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima pesambah yang direka oleh pelajar dari School of Design, UTB, Awang Aiman bin Roslan.

    UTB-STE Connect 2023 dianjurkan bersama oleh UTB, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di mana kongres dwitahunan itu mengumpulkan peneraju dari akademia, sains, penyelidikan, kejuruteraan, industri dan pihak berkepentingan untuk berbincang serta bertukar-tukar idea bagi menjana masa depan yang lebih cerah bersama dalam bidang masing-masing.

    Dengan membawa tema Penyelidikan dan Aplikasi bagi sebuah Dunia yang Lebih Baik, kongres itu mengetengahkan pelbagai program yang diatur merangkumi lima persidangan dan tiga acara khas utama yang menawarkan spektrum perbincangan dan topik yang luas.

    UTB-STE Connect 2023 merupakan bukti komitmen UTB dalam memupuk inovasi, memajukan penyebaran pengetahuan dan mempromosikan kolaborasi global.

    Ia menyediakan peluang yang tiada tandingan bagi pemimpin pemikir dan pembuat perubahan untuk berkumpul serta membentuk masa depan menerusi bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda