Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Dalam era transformasi teknologi pesat, kita berhadapan dengan cabaran-cabaran global seperti perubahan iklim, sekuriti sumber dan makanan serta peralihan digital, di mana penyelesaian bagi isu-isu rumit berkenaan memerlukan kolaborasi, inovasi kreatif dan perhimpunan yang bermakna yang boleh mengumpul minda yang cerdas untuk menerajui hala tuju ke hadapan yang mampan.
Dalam hubungan itu, Kongres UTB-STE Connect 2025 yang membawa tema, Technology Innovations for a Sustainable Future, mengetengahkan acara-acara utama seperti University Presidents’ Forum, Women Leadership Forum dan ASEAN Sustainable Ready Summit for Industry, kesemuanya merupakan platform penting yang memupuk keterangkuman dan dialog berpandangan ke hadapan bagi masa depan bersama kita.
Menerusi platform-platform berkenaan, pemimpin pemikiran, penggubal dasar dan inovator dapat bertukar-tukar idea, mengukuhkan kerjasama dan meneroka penyelesaian kolektif yang akan memacu pertumbuhan mampan di seluruh rantau.
“Bagi Negara Brunei Darussalam, kerjasama sebegini bergema dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, yang bertujuan untuk memupuk penduduk yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi, untuk membina ekonomi yang dinamik dan mampan serta memastikan kualiti hidup yang tinggi untuk semua rakyat.”

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh dalam ucapannya pada Perasmian UTB-STE Connect 2025 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Dalam memacu aspirasi negara berkenaan, ulas Yang Berhormat Datin, kita juga mengesahkan semula pensejajaran dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).
Beliau menjelaskan satu tumpuan utama kongres berkenaan mencerminkan komitmen bersama kepada matlamat global berkenaan yang mengingatkan kita bahawa sains, teknologi dan inovasi bukan sahaja memacu perkembangan dan kemakmuran tetapi juga menegakkan inklusiviti dan kemampanan, memastikan pembangunan memanfaatkan manusia dan planet.

“Visi ini turut terkandung dalam Pelan Pendidikan Hijau (GEP) Kementerian Pendidikan, yang dilancarkan baru-baru ini untuk memajukan kesedaran alam sekitar, amalan mampan dan inovasi hijau di serata ekosistem pendidikan kita.”
Dalam perjalanan itu, tegas Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah, kita akan terus memperkasakan belia, penyelidik dan inovator sebagai pemangkin perubahan sebenar bagi rasa ingin tahu, keberanian dan kreativiti yang akan menentukan bagaimana kita memanfaatkan teknologi untuk membentuk masa depan yang lebih berdaya tahan, pintar dan hijau untuk semua.

