BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Universiti Hadhramout (HU), Yaman telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) untuk memulakan projek penyelidikan kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui pada majlis yang berlangsung di Bilik Persidangan Utama UTB.
MoA tersebut mewujudkan perkongsian untuk projek bertajuk Penilaian Teknikal, Ekonomi dan Alam Sekitar bagi Tenaga Hibrid dan Sistem Hidrogen ke arah Aplikasi Tenaga Hijau.
Acara bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti kata alu-aluan daripada Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Hajah Ena Kartina binti Haji Abdul Rahman. Acara diteruskan dengan ucapan daripada Presiden HU, Profesor Dr Mohammed Saeed Khanbash.
MoA itu ditandatangani oleh Dr Hajah Ena Kartina binti Haji Abdul Rahman bagi pihak UTB dan disaksikan oleh Ketua Penyelidik, Fakulti Kejuruteraan UTB, Profesor Madya Dr Law Kah Haw. Sementara itu, menandatangani mewakili HU ialah Profesor Dr Mohammed Saeed Khanbash dan disaksikan oleh Ketua Penyelidik dan Penolong Profesor, Fakulti Kejuruteraan dan Petroleum HU, Dr Samir Salem Al-Bawri.
Kerjasama itu akan melibatkan aktiviti penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran dan kemudahan, penerbitan bersama dan penyertaan dalam bengkel, seminar dan persidangan. Pasukan penyelidik dari kedua-dua institusi akan meneroka pendekatan inovatif dalam sistem tenaga hibrid dan hidrogen, dengan hasil dijangka menyumbang ke arah pembangunan mampan serta mengukuhkan hubungan akademik dan penyelidikan antara Negara Brunei Darussalam dan Yaman.


