Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Dengan mengambil berat mengenai keselamatan para pelajar dalam keadaan pandemik, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan University of New South Wales (UNSW), Sydney mengadakan Kuliah Alu-Aluan Maya bagi pelajar-pelajar yang mengambil BEng (Hons) in Petroleum Engineering yang disampaikan oleh wakil-wakil dari UNSW, di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, UTB, hari ini.
Di majlis berkenaan, Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa tidak dapat dinafikan bahawa pandemik global COVID-19 telah membawa pelbagai cabaran di mana ia telah menyaksikan krisis kesihatan dan sosio-ekonomi yang jarang disaksikan sebelum ini serta menjejaskan teruk sektor pendidikan tinggi global. Jelasnya pelajar-pelajar UNSW di Brunei tidak dapat menghadiri atau kembali ke Sydney untuk memulakan tahun akademik mereka disebabkan oleh pandemik berkenaan dan menekankan bahawa keselamatan dan kesejahteraan para pelajar menjadi keutamaan bagi universiti berkenaan.
Profesor Dr Hajah Zohrah percaya bahawa sesi kuliah berkenaan adalah sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar bagi mereka yang ingin mengajukan sebarang persoalan mengenai kursus mereka dan diberikan penerangan tentang langkah-langkah pengurangan yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam, UNSW dan UTB untuk membantu mereka yang tidak dapat pergi ke Australia.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald yang menyampaikan ucapan bertajuk, Education in Australia in time of COVID-19, mengetengahkan hubungan pendidikan yang sekian lama terjalin di antara Brunei dan Australia di mana ia dapat disaksikan dengan pertumbuhan komuniti alumni Australia di Brunei iaitu seramai kira-kira 12,000 orang warga Brunei telah belajar di Australia.
Beliau berkata bahawa Suruhanjaya Tinggi Australia amat mengalu-alukan kerjasama yang terjalin di antara UTB dan UNSW di mana dengan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar UTB untuk mengambil sebahagian daripada ijazah kejuruteraan petroleum mereka di Kampus UNSW Sydney, kerjasama itu dapat mengukuhkan lagi kerjasama akademik di antara Brunei dan Australia. PYT Tiffany McDonald menyatakan bahawa pada masa ini, usaha untuk menyokong kepulangan warga Australia khusus mereka yang terdedah merupakan keutamaan bagi kerajaan Australia.
Ini bermakna, jelasnya, ketibaan pelajar-pelajar antarabangsa hanya akan dipertimbangkan apabila warga Australia yang ingin untuk kembali ke negara berkenaan telah kembali dengan jumlah yang banyak. Namun begitu, universiti-universiti Australia telah berjaya mengendalikan pembelajaran dalam talian dan juga menyediakan perkhidmatan sokongan dan penjagaan pastoral atas talian kepada pelajar-pelajar.
Majlis diteruskan dengan kuliah alu-aluan melalui platform dalam talian daripada wakil-wakil UNSW iaitu Dekan Kejuruteraan, Profesor Stephen Foster, Ketua Sekolah Kejuruteraan dan Mineral, Profesor Ismet Canbulat dan Ketua Bidang Kejuruteraan Petroleum, Profesor Klaus Regenauer-Lieb. Kuliah itu bermatlamat untuk melengkapkan para pelajar dengan maklumat yang diperlukan dan menerangkan mengenai sumber-sumber yang terdapat di UNSW bagi mereka yang tidak dapat menghadiri atau kembali ke Sydney untuk memulakan tahun akademik mereka.
