NEW DELHI, 3 DIS – Negeri UttarPradesh di India dikecam hebat selepas memaklumkan kepada sebuah mahkamah bahawa Pakistan bertanggungjawab terhadap masalah pencemaran udara yang semakin teruk di negeri itu.
Negeri di utara yang bersempadan dengan New Delhi itu memberitahu mahkamah, pihak industrinya tidak menyebabkan pencemaran udara sebaliknya ia disebabkan udara kotor dari Pakistan.
“Adakah awda mahu kami mengharamkan industri Pakistan?” soal Ketua Hakim Negara N.V.Ramana kepada peguam yang mewakili kerajaan Uttar Pradesh.
Mahkamah Agung pada Khamis mengarahkan pihak berkuasa di New Delhi dan negeri jirannya mengambil tindakan segera terhadap industri yang mencemarkan dan mengurangkan pelepasan asap kenderaan untuk meningkatkan kualiti udara.
Meskipun wujud tuduh menuduh mengenai penyebab pencemaran udara di negeri Punjab India dan Wilayah Punjab Pakistan, perlakuan Uttar Pradesh itu dilihat suatu yang pelik ketika cuba melepaskan diri daripada tuduhan menyebabkan udara bertoksik untuk New Delhi. – Bernama