Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Utusan Malaysia, Kosmo! kembali

    KUALA LUMPUR, 20 JULAI – Selepas lebih sembilan bulan dihentikan penerbitannya, akhbar tertua Malaysia, Utusan Malaysia dan akhbar kontemporari Kosmo! kembali diterbitkan hari ini .

    Dilancarkan secara rasmi Sabtu lalu, kedua-dua akhbar kini di bawah kendalian Media Mulia Sdn Bhd itu sudah berada di pasaran.

    Kosmo! mengekalkan slogan Suara Kontemporari manakala Utusan Malaysia pula tampil dengan slogan baharu, ‘Pemikiran Baharu’ dan kedua-dua akhbar turut mengekalkan saiz tabloid.

    Mengenai penerbitan semula Utusan Malaysia, Pengarah Urusan merangkap Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar, berkata akhbar itu akan berusaha mengembalikan keyakinan pembaca, menjadi penyebar maklumat yang boleh dipercayai dan mencetus percambahan idea.

    “Kebertanggungjawaban menjadi panduan dalam setiap laporan – kredibiliti menjadi tonggak operasi. Masyarakat hari ini mengkehendaki laporan yang objektif, tepat, benar dan adil, sama ada dari aspek politik, sosial dan ekonomi.

    “Iltizam kami, untuk bangunkan akhbar nasional yang membawa aspirasi setiap rakyat Malaysia,” katanya menerusi ruangan Minda Pengarang, dalam akhbar itu, hari ini.

    Muncul semula ketika industri media dan akhbar negara berada dalam tempoh sukar, Mohamad Azlan menyifatkan kemunculan itu ibarat sinar sebutir bintang di malam yang gelap.

    Beliau turut berharap pembaca melihat setiap laporan akhbar itu sebagai hanya pelaporan berita dan bukan diteliti daripada pandangan yang didorong dengan agenda tertentu.

    Mengenai Kosmo!, beliau berkata akhbar itu masih mengekalkan ciri-ciri asalnya namun, pada masa sama menggabungkan pelbagai elemen baharu bagi memupuk kecenderungan membaca terutama dalam kalangan golongan muda seperti e-sukan dan permotoran. – Bernama

    Petugas sebuah kedai serbaneka, membaca surat khabar ketika tinjauan kelmarin. Akhbar Bahasa Melayu tertua, Utusan Malaysia dan satu lagi akhbar terbitan syarikat itu Kosmo! kembali ke pasaran di bawah Syarikat Media Mulia Sdn Bhd. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda