Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Uyaina rancang terbit filem sulung fasal buli

    Pengacara dan pelakon Uyaina Arshad, 33, melangkah setapak lagi dalam kerjayanya apabila bergelar produser filem pula.

    Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, sudah sampai masanya dia meneroka bidang lain seperti pembikinan filem menerusi syarikat produksi miliknya UA Vision Sdn Bhd.

    “Sebenarnya, saya sudah merancang untuk terbitkan filem pertama berjudul Ragging: Melawan Bungkam ini dari awal tahun lagi. Projek filem ini membabitkan usaha sama bersama rakan produksi lain termasuk Astra Entertainment.

    “Apabila saya buat keputusan untuk meninggalkan program bual bicara pada Julai lalu selepas sembilan tahun, perancangan untuk terbitkan filem pertama ini sudah pun di peringkat akhir,” katanya kepada Harian Metro.

    Mengenai filem itu, kata Uyaina, ia adalah inspirasi berdasarkan kisah benar yang pernah berlaku dan menggemparkan negara sebelum ini.

    “Bila saya nak buat filem ni, saya tengok makin banyak pula kes buli yang tular sebelum kes Allahyarham Zara Qairina lagi.

    “Kisah yang kita paparkan dalam filem ini diinspirasikan dari kisah benar di mana kita ambil beberapa kejadian yang pernah berlaku dan dimasukkan dalam filem ini.

    “Idea asal cerita ini dari saya sendiri dan kemudian saya berbincang dengan penulis skrip untuk mengolah perjalanan asal cerita ini. Bagi elakkan perkara yang tak sepatutnya kita kena buat cerita ini dalam bentuk fiksyen,” katanya.

    Ditanya sama ada naskhah itu ada persamaan dengan filem Projek: High Council, Uyaina menafikannya.

    Menurutnya, jalan ceritanya memang berkisar di universiti, tetapi tiada persamaan dengan siri itu kerana hala tuju siri terbabit juga lain.

    “Mesej yang kita nak bawa dalam filem ini ialah kalau kita cakap tentang buli, orang selalu fokus pada pembuli dan yang dibuli.

    “Tapi maksud melawan bungkam dalam filem ini ialah bila orang lihat kes buli berlaku, tapi dia diam dan tidak bersuara atas dasar takut diri mereka pula dibuli atau atas dasar tak nak masuk campur.

    “Sebenarnya jika sesuatu kejadian buli dilaporkan, ia boleh dicegah daripada berleluasa. Itulah mesej yang nak disampaikan dalam filem ini,” katanya. – Agensi

    Uyaina Arshad mahu terbit filem tentang buli. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda