KANGAR, 28 JUN – Demi mengejar cita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan beraksi bersama skuad Harimau Malaya satu hari nanti, Uzzair Zayyan Naimulddin yang baru berusia 12 tahun sanggup berjauhan dengan keluarga bagi mengejar cita-cita.
Murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong, Beseri itu berkata walaupun hatinya berat untuk melakukannya, beliau perlu kuatkan semangat kerana baginya setiap kejayaan memerlukan pengorbanan.
Bernama sebelum ini melaporkan Uzzair Zayyan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke British International School Phuket (BISP) Thailand dan menerima biasiswa sukan bola sepak berjumlah RM120,000 setahun di bawah program High Performance Team (HPT) yang dikendalikan oleh Cruzeiro Football Academy Brazil.
“Saya telah bersedia dari semua segi sebelum berangkat ke Phuket pada 23 Ogos nanti dan akan cuba menyesuaikan diri demi memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. – Bernama