Oleh Imelda Groves HA & Lyna Mohamad
Gambar oleh Bahiyah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – V-Kool, lapisan filem kaca selektif secara spektrum pertama di dunia kini memasuki pasaran Brunei dengan majlis pelancaran di Auto Gadgets oleh Seng Hoe Huat di Serusop, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Penguat Kuasa dan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Awang Baha bin Haji Jamahat.
Pengarah Auto Gadgets, Wong Kim Guan dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan bahawa dengan V-Kool, semua orang kini boleh mempunyai pengalaman pemanduan yang lebih baik, dengan penggunaan teknologi XIR yang superior dalam lapisan filem V-Kool.
Beliau seterusnya menekankan bahawa tidak semua lapisan filem dicipta sama dan mencuba sendiri sifat intrinsik V-Kool boleh membantu pengguna membuat keputusan berpengetahuan dan kemunculan V-Kool di Brunei adalah tepat pada masanya.
Menurutnya lagi, Auto Gadgets berbangga untuk bekerjasama dengan V-Kool Singapura bagi meningkatkan kecemerlangan dalam industri lapisan filem kaca.


Sementara itu, Pengurus Akaun Serantau dari Eastman Chemical Company untuk V-KOOL International, Alex Tan Kian Boon pula berkata, mereka gembira untuk meningkatkan kehadiran jenama mereka di Asia Tenggara terutamanya di Brunei di mana jurulatih utama mereka telah menjalankan latihan komprehensif untuk kakitangan tempatan mengenai cara betul pemasangan lapisan filem V-Kool secara profesional dengan gabungan kualiti, kecekapan dan kejuruteraan berteknologi tinggi.
Majlis pelancaran berkenaan turut menyaksikan demonstrasi pemasangan V-Kool dan penyampaian sijil kepada perwakilan ejen-ejen V-Kool yang disahkan iaitu DIP Garage Car SPA Service di Daerah Belait, Bengkel Hock Siong Hin Auto, Unicon (B) Sdn Bhd di Gadong dan Sheng Shun Fa Automobile di Menglait yang disempurnakan oleh Wong Kim Leong.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, lapisan filem V-Kool yang dihasilkan di Lembah Silikon, Amerika Syarikat, melindungi daripada tiga elemen utama matahari iaitu cahaya dengan mengurangkan silau dan memperbaiki pemanduan malam, UV/Radiasi Inframerah untuk melindungi bahagian dalaman kereta dan kulit manusia serta kepanasan untuk terus memandu pada tahap selesa.
Lapisan filem kaca tingkap V-KOOL disahkan dan memenuhi kriteria JPD yang memerlukan 70 peratus Kadar Ketelusan Cahaya (LVT). Semua pemasangan V-Kool akan termasuk stiker hologram yang disediakan oleh JPD untuk membuktikan kesahihan produk dan pemasangan dilakukan mengikut keperluan mereka.
Lapisan filem V-Kool boleh dipasang dalam perkhidmatan pada hari yang sama oleh juruteknik V-Kool yang terlatih di Auto Gadgets oleh Seng Hoe Huat di Kompleks Malabau di samping ejen-ejen yang disahkan.