KUALA LUMPUR, 30 Mac – Pemain badminton negara, Goh V Shem meletakkan harapan tinggi untuk mempertahankan pingat emas dimenangi bersama Tan Wee Kiong, pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, bulan depan.
V Shem, bagaimanapun sedar bahawa misi mereka bukan mudah kerana beberapa pasangan dalam kelompok 20 terbaik dunia, turut menyertai temasya empat tahun sekali itu.
Pasangan beregu utama negara itu menewaskan Danny Bawa Chrisnanta-Chayut Triyachart dari Singapura, 21-12, 12-21 dan 21-15 untuk meraih pingat emas pada edisi 2014 di Scotland.
“Undian kali ini agak sukar terutama dengan kehadiran beberapa pasangan terkemuka dunia, satu dari India dan satu lagi pasangan England, jadi kita perlu memberi lebih tumpuan terhadap kedua-dua pasangan itu dan tidak mengambil mudah cabaran mereka.
” Prestasi kami di kejohanan All-England dua minggu lepas tidak begitu memberangsangkan, namun kami berharap dapat menebus kembali dengan menampilkan aksi terbaik pada Sukan Komanwel,” kata V Shem pada sidang media di sini hari ini.
Berkongsi pandangan sama pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang berpandangan mereka bakal berdepan cabaran sengit dengan penyertaan beberapa pasangan terbaik dunia, terutama dari England, India dan Wales.
“Kami berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana memberi peluang kepada kami membuktikan kemampuan pada Sukan Komanwel dan kami akan mempamerkan aksi terbaik dan berharap dapat mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir,” kata Goh.
Skuad negara berdepan kritikan daripada penyokong tempatan berikutan prestasi hambar pada Kejohanan All-England 2018, menyebabkan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi kata dua kepada pemain dan jurulatih supaya meningkatkan prestasi atau berdepan tindakan termasuk digugurkan daripada pasukan kebangsaan. BAM menyasarkan empat pingat emas daripada skuad negara yang terdiri daripada 10 pemain pada Sukan Komanwel 2018. – Bernama