Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Syarikat Jati Transport hari ini telah memperkenalkan model baharu Mercedes-Benz V-Class, V260 Avantgarde yang serba hebat.
Model baharu ini menggabungkan fungsi canggih dan tersendiri dalam kelasnya, dengan ruang tempat duduk lebih lebar dan selesa mampu memuatkan sehingga lapan orang penumpang dengan tempat rehat tangan khas.
Selain itu, ia juga dilengkapi teknologi pemanduan dan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan, melambangkan kemegahan dan kemewahan semua jenama Mercedes-Benz.
Sesuai untuk keluarga besar, model ini turut mempunyai ruang bonet yang luas untuk penyimpanan barangan untuk kegunaan keluarga yang gemar melakukan penerokaan atau sekadar riadah.

Dengan enjin petrol 2.0 liter turbo, ia mampu menghamburkan sehingga 211 kuasa kuda dengan 350 Nm kuasa tork dan transmisi automatik 7G Tronic Plus.
Mercedes-Benz tidak pernah berkompromi dalam soal keselamatan apabila V260 Avantgarde ini dilengkapkan dengan bantuan ‘Crosswind’ dan ‘Attention Assist’ standard bagi pemandu terutamanya dalam mengharungi angin kuat tanpa dijangka. Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan khas ketika memotong lori atau bas ketika berada di atas jambatan.
Ia juga mempunyai kamera persekitaran 360 darjah dan sistem bantuan letak kereta automatik. Orang ramai yang ingin mengetahui kehebatan kereta ini, bolehlah berkunjung ke Bilik Pameran Mercedes-Benz di Beribi.