SHANGHAI, 13 OKT – Pemain nombor 204 dunia, Valentin Vacherot berkata dia berasa terkejut selepas berjaya menewaskan sepupunya, Arthur Rinderknech 4-6, 6-3, 6-3 sekali gus memenangi Shanghai Masters kelmarin, menjadikannya pemain pilihan paling rendah untuk menjuarai kejohanan ATP 1000.
Pusingan final yang tidak dijangka sesama keluarga antara pemain Perancis pilihan ke-54, Rinderknech dan Vacherot dari Monaco, digambarkan oleh jurulatih dan adik tiri Vacherot, Benjamin Balleret, sebagai satu ‘kisah dongeng’.
Ia merupakan kali ketiga dalam sejarah ATP Masters 1000 yang menampilkan dua pemain bukan pilihan.
Vacherot tiba di Shanghai dengan ‘pertaruhan’ apabila dia tersenarai sebagai pemain gantian untuk kejohanan itu, bermakna dia sendiri tidak pasti dapat beraksi dan hanya mengetahui akan bermain hanya sehari sebelum pusingan kelayakan bermula.
Prestasi yang menyusul itu akan melonjakkan kedudukan pemain Monegasque itu daripada tangga ke-204 kepada ke-40 dalam senarai ranking ATP.

Dalam perjalanan ke final, Rinderknech menyingkirkan pemain nombor tiga dunia, Alexander Zverev dan bekas juara Terbuka Amerika Syarikat, Daniil Medvedev.
Vacherot meleburkan peluang 24 kali juara Grand Slam, Novak Djokovic, untuk meraih gelaran kelima di Shanghai pada separuh akhir serta menewaskan pemain nombor 11 dunia, Holger Rune.
Vacherot mengakui menghadapi sepupunya dalam final ‘bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi.’
Rinderknech mematah servis Vacherot dengan pukulan kilas dalam permainan ketiga, memadai untuk pemain berusia 30 tahun itu memenangi set pertama.
Rinderknech berdepan mata penamat dalam perlawanan kelapan namun berjaya mengatasi dengan servis cemerlang.
Dia hampir kembali kalah selepas kesilapan tanpa sengaja dan Vacherot tidak melepaskan peluang kali ini untuk memaksa saingan ke set penentuan.
Kebangkitan yang menyusul selepas itu menghasilkan beberapa aksi sengit, tetapi Vacherot sekali lagi berjaya mematah servis pada kedudukan 5-3 untuk mengesahkan kemenangan. – AFP

