Saturday, February 15, 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vaksin baharu polio hasilkan 99 peratus antibodi

    DHAKA, 12 DIS – Satu kajian baharu mendapati vaksin oral yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selamat untuk merawat virus polio jenis 2 dan mampu menghasilkan 99 peratus antibodi peneutral pelindung terhadap anak damit baru lahir dan tidak divaksinasi sebelum ini.

    Kajian yang dijalankan saintis di Pusat Penyelidikan Penyakit Cirit-birit Antarabangsa, Bangladesh (ICDDR,B) yang berpangkalan di Dhaka bersama rakan kongsi itu telah diterbitkan dalam jurnal The Lancet, lapor agensi Anadolu memetik kenyataan  ICDDR,B pada Ahad.

    Saintis kanan di Bahagian Penyakit Berjangkit di ICDDR,B Dr Md. K Zaman yang mengetuai kajian itu berkata kajian pertama yang dijalankan ke atas para ibu dalam trimester ketiga kehamilan, menunjukkan vaksin oral itu selamat dan menghasilkan 99 peratus antibodi.

    Vaksin polio oral dua dos yang terbaharu itu diluluskan WHO pada November 2021. 

    Dr Zaman berkata vaksin polio oral baharu ini selamat dan imunogenik dalam kumpulan umur yang paling perlu divaksinasi bagi menghentikan rantaian penularan polio dalam komuniti berisiko.

    Gambar fail 5 Disember lalu menunjukkan seorang kanak-kanak menerima vaksin polio di sebuah sekolah di Banda Aceh, Indonesia. Saintis Bangladesh mendapati vaksin polio memberikan 99 peratus antibodi kepada anak damit baru lahir dan belum pernah divaksinasi. – AFP

    Beliau berkata lebih 450 juta dos vaksin yang diluluskan diberi mengikut Prosedur Penyenaraian Penggunaan Kecemasan WHO tanpa sekatan umur untuk penerima.

    Percubaan fasa 2 untuk kajian itu telah dijalankan di luar bandar Bangladesh di Pusat Penyelidikan Kesihatan Matlab ICDDR,B di Chandpur dari 21 September 2020 hingga 16 Ogos 2021.

    Secara keseluruhan, 327 wanita menerima dua dos vaksin atau plasebo dan antaranya 325 telah diuji untuk imunogenisitas.

    Kajian itu dijalankan dengan kerjasama Yayasan Bill & Melinda Gates, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Institut Vaksin Antarabangsa di Seoul dan beberapa institusi lain, dibiayai oleh Yayasan Bill & Melinda Gates.

    Bilangan kes polio di seluruh dunia menurun daripada anggaran 350,000 pada 1988 kepada enam kes pada 2021 – penurunan lebih 99 peratus dalam kes yang dilaporkan, menurut CDC. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda