Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vaksin belum cukup kalahkan COVID-19

    KUALA LUMPUR – Meskipun sejumlah besar populasi rakyat mereka menerima suntikan vaksin, negara-negara seperti United Kingdom (UK) dan Israel tetap mencatatkan lonjakan kes COVID-19 baharu terutama disebabkan kemunculan varian Delta.

    Menurut Our World in Data, 48.4 peratus dan 57 peratus penduduk UK dan Israel masing-masing telah menerima suntikan vaksin sepenuhnya. Berdasarkan data coronavirus.data.gov.uk, UK mencatatkan sejumlah 22,868 kes positif pada 28 Jun dan tiga kematian pada hari yang sama.

    Oleh itu, suntikan vaksin sahaja tidak mencukupi bagi mengalahkan virus ini. Pakar kesihatan awam dan ahli epidemiologi seluruh dunia menyatakan bahawa amat pen-ting meneruskan amalan kesihatan awam yang baik, di samping proses vaksinasi. Mengamalkan norma baharu di samping program vaksinasi mungkin satu-satunya jalan keluar berkesan dalam menghadapi wabak ini.

    Penolong Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk akses kepada ubat-ubatan dan produk kesihatan, Dr Mariangela Simao dalam sidang media di ibu pejabat agensi itu di Geneva pada 25 Jun menyatakan bahawa vaksin sahaja tidak mampu menghentikan penularan dalam komuniti.

    “Di saat penularan komuniti masih berlaku, masyarakat seharusnya terus mempraktikkan penggunaan penutup mulut dan hidung secara konsisten, berada di kawasan dengan peredaran udara yang baik, memastikan kebersihan tangan, menjaga jarak fizikal, menghindari kesesakan, walaupun jika anda telah menerima suntikan vaksin,” Simao berkata.

    Pakar kesihatan Malaysia juga mengulangi pendirian sama, seperti dibuat rakan sejawat di seluruh dunia, dengan mengatakan bahawa orang ramai harus mematuhi langkah-langkah keselamatan COVID-19 setiap masa walaupun negara ini sedang meningkatkan kadar program vaksinasi.

    Prof Dr G. Jayakumar berkata suntikan vaksin dan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok seharusnya tidak  boleh dilihat sebagai perisai bagi mengurangi pandemik, sebaliknya harus mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam yang lain.

    “Tujuannya agar kita dapat menerapkan amalan kesihatan yang baik sebagai norma dan budaya baharu dalam masyarakat.

    “Harus ada kesedaran diri bahawa dengan menjaga kebersihan tangan, mengamalkan etika batuk, menghindari tempat sesak dan memakai penutup mulut dan hidung mampu mengurangkan risiko jangkitan,” kata beliau yang merupakan timbalan dekan (pra-klinikal) Fakulti Perubatan, Kolej Universiti Manipal di Melaka kepada Bernama.

    Dr Jayakumar juga mengatakan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi membentuk kepercayaan terhadap institusi kesihatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda