WASHINGTON, 28 MEI – Amerika Syarikat (AS) tidak akan lagi mengesyorkan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak dan wanita hamil yang sihat, umum Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr. kelmarin, menyifatkannya sebagai keputusan logik berdasarkan sains yang kukuh.
Perubahan itu adalah berikutan pengumuman minggu lalu oleh pegawai Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) bahawa mereka akan mengehadkan kelulusan suntikan COVID – alat penting dalam menamatkan wabak – kepada orang dewasa berumur 65 tahun ke atas, serta individu yang lebih muda berdasarkan keadaan kesihatan.
Pegawai pentadbiran Trump telah merangka peralihan itu untuk menyelaraskannya dengan negara-negara seperti Britain, Jerman dan Perancis di mana penggalak tahunan disyorkan hanya untuk warga tua dan orang yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah.
Ia dicapai ketika Kennedy – yang telah lama mempromosikan maklumat salah tentang vaksin secara umum dan khususnya bagi suntikan COVID – mendesak dasar kesihatan awam persekutuan dirombak semula.
“Saya berasa gembira untuk mengumumkan setakat hari ini, vaksin COVID untuk kanak-kanak dan wanita hamil yang sihat telah dikeluarkan daripada jadual imunisasi yang disyorkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC),” katanya dalam video yang disiarkan di X.
Pegawai FDA juga berkata pengeluar vaksin perlu menjalankan ujian klinikal baharu – termasuk perbandingan terhadap plasebo – jika mereka ingin mengekalkan kelulusan untuk digunakan pada orang yang sihat di bawah umur 65 tahun.
Akan tetapi, perubahan terbaharu itu telah mendapat kritikan.
Pakar penyakit berjangkit di Universiti Johns Hopkins, Amesh Adalja berkata kepada AFP minggu lalu bahawa walaupun pendekatan baharu itu sepadan dengan yang diambil oleh negara lain, “Saya fikir, siri awal vaksin COVID-19 perlu menjadi sebahagian daripada imunisasi rutin kanak-kanak,” tambahnya. – AFP
