Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Vaksin denggi keluaran Jepun diberi kelulusan

    TOKYO, 9 DIS – Syarikat farmaseutikal Jepun, Takeda berkata Kesatuan Eropah (EU) telah memberikan kelulusan ke atas vaksin demam denggi keluarannya, menjadikannya suntikan kedua bagi mencegah penyakit yang diluluskan oleh blok tersebut.

    Denggi bawaan nyamuk boleh mengakibatkan demam berdarah dan jangkitan kepada kira-kira 100 hingga 400 juta orang setiap tahun, meskipun lebih 80 peratus kes adalah bergejala ringan atau tidak mempunyai gejala, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Takeda Pharmaceutical berkata vaksin keluarannya, yang dikenali sebagai Qdenga, telah diberikan kelulusan oleh Suruhanjaya Eropah kelmarin untuk pesakit yang berusia empat tahun dan ke atas, tanpa mengira sejarah jangkitan virus.

    Satu lagi vaksin denggi, Dengvaxia – yang pertama untuk penyakit denggi – sudah tersedia di EU, namun hanya untuk mereka yang disahkan pernah dijangkiti.

    Denggvaxia menjadi bualan kontroversi pada 2019 apabila Filipina mengharamkannya atas sebab faktor keselamatan, dakwaan yang dinafikan oleh pengilang vaksin itu, Sanofi.

    Qdenga telah diluluskan di Indonesia awal tahun ini bagi mereka yang berumur enam tahun dan ke atas.

    Jumlah kes denggi yang dilaporkan meningkat lebih lapan kali ganda dalam tempoh dua dekad, menurut WHO, yang turut menambah bahawa ‘kira-kira separuh penduduk dunia kini berada dalam risiko.’ – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...