Wednesday, January 15, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vaksin HFMD pertama menanti pengesahan

    HANOI, 26 JULAI – Ujian ketiga bagi vaksin penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) telah selesai dilaksanakan di Vietnam dan sedang menunggu kelulusan rasmi, lapor media tempatan hari ini, memetik Institut Pasteur di Ho Chi Minh City.

    Tiada kes HFMD direkodkan dalam kalangan kanak-kanak yang menerima vaksin itu, akhbar harian tempatan, Vietnam News memetik Timbalan Pengarah Unit Penyelidikan Klinikal institut tersebut, Nguyen Trong Toan.

    Vaksin itu mempunyai keberkesanan perlindungan sebanyak 96.8 peratus terhadap penyakit yang disebabkan oleh strain Non-Mouse-Adapted Enterovirus 71 (EV71), iaitu strain virus paling berbahaya yang menyebabkan HFMD dengan risiko kematian yang tinggi, katanya.

    Para penyelidik tidak mengesan sebarang anafilaksis selepas vaksinasi, manakala 30 peratus menyaksikan beberapa reaksi tipikal seperti bengkak atau kemerahan pada titik suntikan sama seperti vaksin lain, katanya.

    Berdasarkan keputusan ujian klinikal, unit pengeluaran menyerahkan dokumen kepada Kementerian Kesihatan untuk kelulusan dan jika diluluskan ia akan menjadi vaksin HFMD pertama di Vietnam terhadap strain EV71, kata Toan. – Xinhua

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda