Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Pemberian vaksin kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ke bawah memerlukan penelitian dan kajian dengan lebih terperinci.
Pada masa ini kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke 18 tahun belum lagi diberikan vaksin dan dengan adanya vaksin Pfizer nanti, program vaksinasi (untuk golongan berkenaan) akan dilaksanakan.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu semasa menjawab persoalan mengenai keselamatan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Kita perlu meneliti dan melihat kajian yang telah dibuat terhadap pemberian vaksin kepada kanak-kanak seperti kategori kanak-kanak, keadaan dan kesan sampingan serta sebagainya,” jelas beliau lagi.
Selain itu, tambah beliau, perlu melihat manuskrip penuh dan ia juga perlu diteliti oleh Bahagian Teknikal Vaksin Kementerian Kesihatan.
“Ini juga sama untuk vaksin Sinopharm yang juga perlu diteliti terlebih dahulu di samping menunggu fasa ketiga percubaan (Phase Trial),” jelasnya.
